Tujuh individu termasuk seorang wanita edar dadah diberkas

Antara dadah yang dirampas polis dalam tiga serbuan berasingan di ibu negara.
Antara dadah yang dirampas polis dalam tiga serbuan berasingan di ibu negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tujuh individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah diberkas dalam serbuan berasingan dalam Op Ophelia pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya turut merampas dadah ganja dan syabu yang dianggarkan bernilai RM112,500.

"Sindiket pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan itu bergerak aktif sejak empat bulan lalu.

"Mereka mendapat bekalan dadah dari utara Semenanjung Malaysia untuk pasaran Lembah Klang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Azmi berkata, dalam serbuan pertama pada jam 2.15 petang, seramai dua lelaki dan seorang wanita berusia 32 hingga 39 tahun ditahan di lobi sebuah hotel di ibu kota.

"Susulan daripada tangkapan itu, kita menahan seorang lelaki serta merampas dadah jenis ganja seberat satu kilogram dan syabu (958 gram) di dalam sebuah bilik hotel berkenaan," katanya.

Azmi berkata, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 23 hingga 27 tahun pada jam 6.45 petang Jumaat di kawasan parkir kereta sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini.

"Kita berjaya merampas ganja seberat 30 kilogram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sindiket bergiat aktif sejak empat bulan lalu menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah untuk mengaburi dan menyukarkan dikesan oleh pihak berkuasa.

"Enam daripada tujuh suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.