Kapal layar bawa pelancong lihat matahari terbenam ditahan

Kapal layar tanpa dokumen sah untuk jalankan aktiviti rekreasi yang ditahan di perairan Langkawi. - Foto Maritim Malaysia
Kapal layar tanpa dokumen sah untuk jalankan aktiviti rekreasi yang ditahan di perairan Langkawi. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kedah/ Perlis menahan sebuah kapal layar tanpa dokumen sah untuk menjalankan aktiviti rekreasi di perairan Langkawi, lewat petang Ahad.

Pengarah Maritim Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kapal layar tersebut ditahan ketika bersauh di 0.2 batu nautika timur laut Pulau Tuba.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kapal layar yang membawa dua pemilik kapal serta dua kru masing-masing berumur 46 hingga 56 tahun serta lapan penumpang, gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk menjalankan aktiviti rekreasi di laut.

"Kapal layar yang didaftarkan dalam negara itu ditahan pada 6.55 petang.

"Kapal tersebut dipercayai membawa pelancong melihat pemandangan matahari terbenam atau sunset cruise," katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Isnin.

Romli memberitahu, kapal berkenaan bersama kru dan pemilik bot kemudian ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah," katanya.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia mengingatkan semua pengusaha kapal layar yang menjalankan aktiviti sunset cruise mematuhi segala keperluan pelesenan, insurans dan keselamatan bagi menjaga keselamatan pelancong dan penumpang kapal layar.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga nasihatkan pelancong supaya lebih peka memilih pengusaha kapal layar yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia untuk elakkan perkara tidak diingini berlaku," ujarnya.

Romli turut meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kesalahan undang-undang di laut melalui talian 04-9662750.