Pengisian bulan kemerdekaan perlu pembaharuan

Program pengisian bulan kemerdekaan di negara ini dilihat kurang meriah. - Foto 123rf
Program pengisian bulan kemerdekaan di negara ini dilihat kurang meriah. - Foto 123rf
A
A
A

WALAUPUN tarikh 31 Ogos sudah semakin hampir, program pengisian bulan kemerdekaan di negara ini dilihat kurang meriah.

Mungkin kerana cara sambutannya tidak relevan dengan peredaran zaman.

Sepanjang 65 tahun negara merdeka, pengisian sambutan setiap tahun hampir sama dan mengulangi apa yang pernah dibuat tahun-tahun sebelumnya.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan, namun segelintir rakyat langsung tidak ambil tahu mengenai bulan kemerdekaan.

Kajian akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan anak muda di negara ini mempunyai semangat patriotik, mereka sebenarnya masih tidak menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.

Bagi mereka, tarikh 31 Ogos hanyalah hari cuti umum untuk bersantai di rumah.

Hanya segelintir yang teruja untuk mengisi hari tersebut dengan aktiviti sambutan kemerdekaan.

Melihat kepada perkara ini, lebih banyak usaha perlu diambil kerajaan menerusi kementerian terlibat untuk menanamkan semangat peka terhadap kemerdekaan negara, sekali gus menghayati erti sebenar bulan kemerdekaan.

Artikel Berkaitan:

Bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu patriotik beramai-ramai, sebaliknya kerajaan diharap dapat merangka program yang baharu, lebih dinamik serta relevan dengan zaman kini.

Antara yang boleh dilakukan kerajaan ialah menerusi agensinya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menghasilkan banyak filem atau dokumentari yang mengangkat tokoh perjuangan kemerdekaan.

Tidak dinafikan, pada masa kini karya filem mempunyai pengaruh dan tarikan yang kuat serta mampu mencorakkan tingkah laku dan emosi masyarakat.

Menerusi filem juga dapat menyampaikan mesej-mesej tertentu kepada orang ramai dengan lebih terperinci selain boleh menyentuh emosi bagaimana sukarnya orang zaman dahulu memperjuangkan kemerdekaan negara.

Dengan mengangkat tokoh pahlawan kemerdekaan ini di layar perak, secara tidak langsung menyemai semangat jati diri dalam masyarakat pada hari ini.

Kita mahu sejarah kemerdekaan dan detik 31 Ogos 1957 terus dikenang dan sentiasa dinanti-nantikan rakyat Malaysia untuk disambut dengan meriah pada setiap tahun.