KASA cadang tingkatkan kapasiti bekalan air di Labuan

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

LABUAN - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bercadang meningkatkan kapasiti bekalan air bersih dengan menambah tangki air di pulau bebas cukai ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kapasiti tambahan itu adalah untuk memastikan Labuan sentiasa mempunyai bekalan air mencukupi untuk dibekalkan kepada isi rumah dan sektor perniagaan.

Kapasiti pengeluaran air semasa Labuan ialah 100 juta liter sehari (MLD).

"Rizab air mentah di pulau ini kini 20 peratus. Sekiranya berlaku sesuatu kepada punca utama bekalan air (Loji Rawatan Air (LRA) Lawa Gadong di Beaufort, Sabah, tangki air tambahan itu boleh berfungsi sebagai bekalan sandaran,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek loji penggantian paip air dan loji rawatan air (LRA), di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, sejumlah RM113 juta telah diperuntukkan untuk beberapa projek penggantian paip air dan LRA di Jalan Mohd Salleh, Kina Benuwa dan kawasan lain di sini.

Beliau berkata, apabila siap, projek LRA Kina Benuwa bernilai RM8 juta itu akan dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran air sebanyak 30 MLD.

Projek LRA Kina Benuwa, yang bermula pada Oktober 2019 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, dijangka memberi manfaat kepada ribuan penduduk di sekitar Kampung Sungai Bedaun.

"Berdasarkan taklimat hari ini oleh Bahagian Bekalan Air Labuan, Labuan mempunyai tiga isu utama bekalan air, termasuk mempunyai paip air berusia antara 40 dan 50 tahun yang menyebabkan kebocoran dan kekerapan gangguan bekalan air.

"Isu kedua ialah projek penggantian paip air yang masih berjalan dan yang ketiga ialah keperluan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air," kata Tuan Ibrahim.

Sementara itu, katanya, isu pencemaran yang semakin teruk di Sungai Gersik akan ditangani oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan.

Tuan Ibrahim sedang dalam lawatan kerja sehari ke Labuan untuk memeriksa loji rawatan air dan projek penggantian paip dan mendapatkan maklumat terkini tentang usaha menangani isu air di pulau itu. - Bernama