Pimpinan parti politik perlu henti serang institusi kehakiman: PH

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberikan peringatan tegas kepada pimpinan parti politik terutamanya UMNO agar menghentikan serangan yang dilakukan terhadap institusi kehakiman negara.

Majlis itu dalam satu kenyataan pada Sabtu menegaskan bahawa kebebasan institusi kehakiman perlu sentiasa dipertahan dan ia wajib kekal konsisten sebagai salah satu tonggak utama dan tiang seri negara.

“Majlis Presiden PH sangat terkejut dan amat dukacita dengan siri kenyataan pimpinan tertinggi UMNO yang dilihat menyerang institusi kehakiman.

“Serangan ini semakin menjadi-jadi terutama apabila proses perbicaraan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Berhad hampir ke penghujungnya.

“Malah serangan ini khususnya dari kalangan penyokong UMNO dan ‘cybertroopers’ semakin bersifat ugutan termasuk ugutan bunuh terhadap Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Dalam pada itu, majlis itu turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang memberikan jaminan untuk menyiasat dan mendakwa pihak melakukan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara.

Katanya, ini kerana ugutan untuk mencedera atau membunuh itu adalah kesalahan jenayah di sisi undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, kenyataan itu turut menegaskan bahawa perbicaraan kes itu perlu dibenarkan untuk berjalan sehingga ke penghujung.