Banjir kilat: Kerajaan Selangor dalam keadaan siap sedia

Keadaan jalan di salah satu kawasan perumahan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam petang tadi.
Keadaan jalan di salah satu kawasan perumahan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam petang tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Hujan lebat disusuli peningkatan paras air di sebahagian kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini mencetuskan ketakutan kepada penduduk dan pengguna jalan raya pada Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, pintu air telah dibuka sebagai usaha untuk mempercepatkan air surut di sekitar kawasan berkenaan selepas laporan mengenai peningkatan paras air diterima.

"Semua agensi berkaitan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia dan kerajaan negeri memantau rapat situasi terkini berhubung paras air di beberapa sungai utama serta kadar taburan hujan semasa di Selangor," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Sabtu.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, banjir kilat berlaku di Sri Muda dan sekitarnya akibat paras air yang tinggi di Sungai Rasau serta situasi air mati yang melambatkan aliran air keluar ke Sungai Rasau.

"Saya telah mengarahkan agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengaktifkan sistem pam dengan segera dan membuka pintu pam. Pegawai saya juga akan membuat tinjauan di sana bagi memastikan keadaan segera pulih.

"Alhamdullilah, buat masa ini air telah mula surut di kawasan yang dinaiki air. Mohon kepada penduduk sekitar agar berhati-hati dan segera laporkan jika ada kejadian yang tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau ketika dihubungi turut mengesahkan beberapa kawasan rendah di Sri Muda dinaiki air namun masih terkawal.

"Setakat ini memang longkang-longkang dipenuhi air tetapi air masih tidak melimpah masuk ke dalam rumah kecuali di hadapan beberapa buah rumah yang sedang dalam proses ubah suai," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau terkilan apabila ada gambar-gambar lama situasi banjir di beberapa kawasan digunakan semula dan disebarkan di laman-laman sosial sehingga mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

"Antaranya gambar lama banjir berlaku di Kampung Baru Hicom, ada yang mendakwa air naik sampai paras pinggang, ia tidak berlaku namun begitu saya tetap khuatir dengan keadaan semasa jika hujan terus turun dan kini sudah lebih sejam," katanya.