'Kehadiran Anwar di Tambun nafi peluang Aziz Bari'

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Kesediaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun menafikan peluang Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang turut mengidamkan kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sindiran itu dibuat Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyifatkan sesiapa sahaja boleh bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerusi Parlimen Tambun itu akan dipertahankan pada PRU akan datang jika diberikan peluang.

"Saya bimbang kalau Anwar Ibrahim bertanding, mungkin peluang untuk Dr Abdul Aziz Bari bertanding di situ agak sukar. Saya pendokong demokrasi, beliau layak bertanding di mana sahaja beliau pilih.

"Saya alu-alukan dan saya harap rakyat pengundi di Tambun akan kekal mengundi saya untuk terus membantu mereka di Tambun," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia di sebuah kompleks beli-belah di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad Faizal menyifatkan soal siapa calon tidak begitu penting sebaliknya usaha membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Menurutnya, semua pihak perlu meletakkan usaha untuk membantu rakyat menjadi keutamaan.

Pada 11 Ogos lalu, Anwar sedia mempertimbangkan pelawaan PKR Perak untuk bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara kerusi dicadangkan termasuklah kawasan Parlimen Tambun yang kini disandang Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Selain Anwar, Ketua Pembangkang Perak, Abdul Aziz turut menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan pada PRU15.