12 individu ditahan naik motosikal dengan bukan mahram

Antara pasangan yang ditahan dalam Ops Bonceng yang diadakan di Jalan Kelulut, Marang, pada malam Jumaat.
Antara pasangan yang ditahan dalam Ops Bonceng yang diadakan di Jalan Kelulut, Marang, pada malam Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai enam pasangan bukan mahram yang menunggang dan membonceng motosikal bersama ditahan dalam operasi Op Bonceng dilaksana di Jalan Kelulut, Marang, pada malam Jumaat.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Adnan Abdullah berkata, 12 individu berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan antara jam 9 hingga 11.30 malam.

Katanya, operasi oleh Pejabat Agama Daerah Marang dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dijalankan di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (2001) iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Jelas beliau, jika sabit kesalahan individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Buat masa ini, kita ambil pendekatan pencegahan iaitu notis arahan hadir ke untuk sesi khidmat nasihat.

"Jadi, kesemua pasangan penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan dalam operasi itu telah diberi notis arahan hadir ke pejabat bagi sesi khidmat nasihat," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Menurut Md Adnan, operasi itu dikuat kuasa di semua daerah bagi membendung perlakuan dan aktiviti tidak bermoral daripada berleluasa.

"Sasaran kita ialah pasangan penunggang dan pembonceng motosikal beragama Islam yang tiada ikatan perkahwinan sah," katanya.