KITARecycle dapat sambutan positif

Ken Hwa (lapan dari kanan) pada Majlis Gimik Pelancaran Program KITARecycle di Taman Bayu Indera, Lukut pada Sabtu.
Ken Hwa (lapan dari kanan) pada Majlis Gimik Pelancaran Program KITARecycle di Taman Bayu Indera, Lukut pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Sebanyak 345,033 kilogram barangan kitar semula berjaya dikumpulkan oleh 6,441 ahli KITARecycle di Negeri Sembilan sehingga Julai lepas.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, ia menunjukkan reaksi positif daripada masyarakat umum terutamanya di negeri ini yang aktif melaksanakan aktiviti kitar semula.

"Sedia maklum program ini menyediakan aplikasi mesra pengguna KITARecycle bagi memudahkan setiap ahli untuk mendaftar dan menyemak jumlah berat barangan kitar semula yang telah dilaksanakan.

"Mereka seterusnya boleh menebus mata ganjaran kitar semula (Recycling Point = RP) untuk ditukarkan kepada wang tunai," katanya dalam satu kenyataan selepas selesai Majlis Gimik Pelancaran Program KITARecycle di Taman Bayu Indera, Lukut pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan Dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, Choo Ken Hwa.

Dalam perkembangan lain, Mohd Norlisam berkata, pihaknya menyasarkan 792 premis kediaman di Taman Bayu Indera Fasa 1 akan mendaftar di bawah program KITARecycle bagi melaksanakan aktiviti kitar semula di samping menerima mata ganjaran KITARecycle.

"Kita akan membuka kaunter kutipan barangan kitar semula KITARecycle pada hari Sabtu minggu ketiga bermula jam 9 hingga jam 11 pagi di kawasan kediaman taman tersebut.

"Ia bagi memudahkan setiap penduduk meletakkan barangan kitar semula yang telah ditampal dengan kod QR unik atau dengan menulis nombor keahlian KITARecycle bagi membolehkan penduduk setempat mengumpulkan mata ganjaran.

"Secara tidak langsung dapat membudayakan amalan pengasingan di punca (SAS) dan 3R (pengurang, guna semula dan kitar semula) supaya gaya hidup hijau dapat diterapkan dalam kehidupan harian," katanya.