RM800 juta peruntukan atasi masalah banjir di Sabah

Tuan Ibrahim (tiga dari kanan) mendengar taklimat berkaitan kawasan bakal dilaksana projek tangani banjir di Kampung Pengalat.
Tuan Ibrahim (tiga dari kanan) mendengar taklimat berkaitan kawasan bakal dilaksana projek tangani banjir di Kampung Pengalat.
A
A
A

PAPAR - Kementerian Alam Sekitar dan Air meluluskan sebanyak RM800 juta peruntukan bagi mengatasi masalah banjir di Sabah termasuk membabitkan empat projek besar di Beaufort dan Papar.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lawatan kerja ke sini bagi melihat isu banjir dihadapi beberapa tempat dan kementerian telah meluluskan peruntukan tersebut.

"Bagi daerah kecil Membakut pula, kita memperuntukkan RM30 juta bagi pembinaan laluan banjir bagi Sungai Membakut ke Sungai Binsuluk manakala projek kedua adalah pemuliharaan Sungai Padas, Beaufort dengan peruntukan sebanyak RM12 juta.

"Ketiga, projek mengatasi banjir pantai dengan jumlah peruntukan RM32 juta termasuk kawasan yang saya lawat ini (Kampung Kuala Dalam dan Kampung Pengalat) kerana sebahagian kawasan telah mendap, perlukan pembinaan.

"Projek keempat pula melibatkan kerja pengaliran dan penstabilan tebing sungai di Hulu Sulim di Kampung Labak, Kinarut dengan peruntukan hampir RM150,000 membabitkan pengaluran sungai sejauh 300 meter dan penstabilan tebing sungai sejauh 45 meter," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Kampung Pengalat, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, semua projek berkenaan dijangka akan dilaksanakan bermula awal tahun depan dan setiap projek mempunyai tempoh masanya yang ditetapkan.

"Tetapi kita berharap dengan kelulusan RM800 juta ini sebagai satu berita gembira khususnya untuk kawasan ini yang selama ini tenggelam disebabkan banjir dan sebagainya," katanya.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.