Tarif air bukan domestik di Johor dijangka naik tahun depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan tarif air bagi pengguna bukan domestik di Johor dinaikkan sebanyak 15 sen per meter padu (m3) mulai Januari tahun depan.

Maybank IB dalam satu nota berkata, ia susulan keputusan kerajaan Persekutuan pada Jun lalu yang meluluskan purata kenaikan tarif 25 sen per m3 untuk pengguna bukan domestik berkuat kuasa Ogos tahun ini.

Menurut Maybank IB, kenaikan tarif air di Johor itu mungkin menggandakan keuntungan bersih Ranhill Utilities Bhd (RUB) bagi tahun kewangan 2023.

“Ranhill Syarikat Air Johor Sdn Bhd (RSAJ) ialah pengendali sumber air ke paip eksklusif Johor dan penyumbang pendapatan utama kepada Ranhill.

“Kami mengandaikan kenaikan purata 15 sen per m3 ( pertambahan 4.6 peratus) bagi pengguna bukan domestik Johor mulai Januari 2023 yang memuncak dengan kenaikan 2.5 peratus dalam tarif keseluruhan.

“Seiring dengan pemulihan volum, kami meramalkan lebih daripada dua kali ganda keuntungan bersih tahun kewangan 2023,” kata firma penyelidikan itu, memetik laporan portal bisnes dagangnews.com.

Menurut firma tersebut, RUB dari segi sejarah telah aktif dalam mengejar peluang baharu dengan kejayaan ketara baru-baru ini ialah loji tenaga solar berskala besar 50 megawatt (MW).