Conte harap larangan segera berakhir

Conte - foto Getty Images
Conte - foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte berharap larangan untuknya berada di tepi padang susulan dilayangkan kad merah kerana terbabit dalam pertelingkahan dengan pengendali Chelsea, Thomas Tuchel di Stamford Bridge minggu lalu, akan segera berakhir.

Malah Conte juga berjanji untuk mengubah sikapnya untuk lebih bertenang dan cuba mengelakkan diri daripada terlibat dengan insiden-insiden sedemikian selepas ini.

Katanya, mulai aksi berdepan Wolverhampton Wanderers pada Sabtu, dia akan cuba untuk bersikap tenang di sepanjang perlawanan.

“Saya sangat berharap agar saya dapat mengawal emosi dan juga perasaan saya selepas ini.

“Namun, saya sebenarnya memang berhak untuk berada di ‘tempat’ saya semula (sebagai pengendali pasukan)..supaya dapat memberikan arahan kepada pemain,” katanya.

Minggu lalu, Conte dan Tuchel dilayangkan kad merah sejurus kedua-duanya didapati terlibat dalam pertelingkahan selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Spurs dan Chelsea terikat 2-2.

Insiden itu sekali gus menyaksikan Conte dan Tuchel tidak berada di tepi padang bagi membantu mengendalikan pasukan masing-masing minggu ini.

Bagaimanapun difahamkan, kedua-dua pengendali berpengalaman itu boleh mengemukakan rayuan berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, Conte menyifatkan agar dia perlu berdiam diri dan bertenang ketika ini sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Ketika ini ada baiknya untuk saya kekal tenang dan jangan berikan kenyataan,” katanya.