Sedia peruntukan besar pada Belanjawan 2022

A
A
A

Belanjawan 2022 yang diumumkan memanfaatkan golongan rentan yang terkesan dengan bencana banjir dan pandemik Covid-19.
Belanjawan 2022 yang diumumkan memanfaatkan golongan rentan yang terkesan dengan bencana banjir dan pandemik Covid-19.

SHAH ALAM - Pembentangan Belanjawan 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober 2021, membuktikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa mengutamakan keperluan rakyat.

Melalui pembentangan itu, kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) antara RM350 hingga RM2,000 kepada setiap isi rumah, warga emas dan individu bujang mengikut syarat tertentu termasuk pendapatan bulan dan bilangan tanggungan masing-masing.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan peruntukan RM434 juta bagi bantuan ‘one-off ’ berjumlah RM500 kepada hampir 870,000 individu yang kehilangan pendapatan pada tahun 2021.

Pada 16 Mac lalu, Ismail Sabri juga mengumumkan kerajaan akhirnya bersetuju membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Tegasnya, meskipun ia sesuatu yang sukar dan melibatkan simpanan hari tua rakyat, namun kerajaan terpaksa mengambil keputusan berkenaan sebagai jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak ketika ini dan simpanan masa depan.

Beliau meneruskan inisiatif untuk rakyat apabila mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM100 juta bagi membaiki kerosakan kediaman dan infrastruktur akibat banjir yang melanda seluruh negara, pada Disember lalu.

Malah, kerajaan turut memberikan sumbangan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas. Sepuluh hari kemudian, beliau mengesahkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Katanya, menerusi inisiatif tersebut kerajaan melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan (BWI) termasuk RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.

“Kerajaan turut menyalurkan bantuan kepada semua KIR yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Bantuan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia, malah mangsa yang terjejas akibat banjir juga boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut,” katanya.

Bagi menyelami denyut nadi dan kesusahan rakyat di akar umbi, beliau sering mengadakan tinjauan dan lawatan kerja ke lokasi tumpuan seperti pasar awam, pasar tani dan bazar di seluruh Malaysia.

Terkini, kerajaan pimpinannya menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bagi menangani isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup rakyat.

Jalin hubungan antarabangsa

Ismail Sabri memperkukuhkan hubungan antarabangsa dengan memulakan lawatan rasmi pertamanya ke luar negara pada 9 hingga 11 November 2021 ke Indonesia bertemu komuniti perniagaan dan Presidennya, Joko Widodo (Jokowi).

Pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah antara salah satu lawatan kerja beliau di beberapa negara ASEAN.
Pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah antara salah satu lawatan kerja beliau di beberapa negara ASEAN.

Kedua-dua pemimpin itu turut menyaksikan pemeteraian lima perjanjian persefahaman dan memorandum (MoU) antara kedua-dua negara termasuk pengambilan dan perlindungan perkhidmatan domestik Indonesia (MoU PDI) di Malaysia.

Ismail Sabri kemudiannya melakukan lawatan rasminya ke Singapura bertemu rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong bagi membincangkan pelbagai isu termasuk pembukaan sempadan kedua-dua negara dan melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VCL) laluan darat Singapura-Malaysia.

Beliau meneruskan siri lawatan rasmi pada 2022 dengan mengunjungi beberapa negara ASEAN lain termasuk ke Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam; ke Timur Tengah seperti Emeriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Turkiye serta Jepun.

Ismail Sabri juga berjaya merapatkan kembali hubungan dua hala perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) selepas melakukan lawatan rasmi ke negara ‘Uncle Sam’ itu, pada 10 hingga 13 Mei lalu.

Beliau juga berkesempatan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden AS, Joe Biden dan Naib Presidennya, Kamala Harris semasa menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS bersama pemimpin negara lain di White House.

Beliau meluangkan masa bertemu dengan wakil syarikat yang tersenarai Fortune 500 Amerika Syarikat atau syarikat senaraian awam terbaik AS ketika ini.

Ismail Sabri menyifatkan lawatan kerja ke AS sebagai satu kejayaan besar dan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-AS dan ASEAN-AS.

“Hubungan dengan AS amat penting kepada Malaysia dari segi politik dan perdagangan. AS adalah rakan dagang kedua terbesar dan keempat terbesar dari segi pelaburan di Malaysia,” katanya.

Dari segi ekonomi pula, kerajaan berjaya menarik aliran pelaburan langsung asing (FDI) bersih bernilai RM48.1 bilion pada 2021 berbanding RM13.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, pelaburan langsung Malaysia di luar negeri (DIA) mencatatkan RM19.7 bilion berbanding RM10.2 bilion pada 2020 manakala sehingga akhir 2021, FDI terkumpul di Malaysia mencatatkan nilai yang lebih tinggi sebanyak RM788.8 bilion.

Malaysia juga mencatatkan pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu berjumlah RM306.5 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama, meskipun ekonomi global masih berdepan persekitaran yang mencabar akibat pandemik Covid-19.

Jumlah FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada 2021 itu melebihi jangkaan, meningkat 83.1 peratus daripada yang direkodkan pada 2020.