'Saya teringin nak bertemu ibu bapa kandung'

Tee Hui Nee (tengah) bersama ibu bapa angkatnya berharap dapat bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya.
Tee Hui Nee (tengah) bersama ibu bapa angkatnya berharap dapat bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penjaga kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mencari ibu bapa kandung kepada anak di bawah jagaannya itu yang telah terpisah sejak sekian lama.

Remaja berkenaan, Tee Hui Nee kini dipelihara oleh sebuah keluarga angkat dan menetap di Puchong, Selangor tanpa sebarang dokumen selain daripada sijil kelahiran.

Bapa angkat kepada remaja berkenaan, Tee Tiew Meng, 45, berkata, dia dan isteri menjaga remaja berkenaan sejak berusia empat hari.

Menurutnya, remaja berkenaan tidak pernah bertemu kedua ibu bapa kandungnya itu sehingga ke hari ini.

"Saya mencari ibu bapa kandung kepada anak angkat kami.

"Anak angkat ini diserahkan kepada saya ketika dia berusia empat hari.

"Saya dan isteri tidak tahu di mana ibu bapa kandung kepada anak angkat kami ini berada dan tidak pernah berjumpa dengannya," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Hui Nee sewaktu ditemui mengakui dia amat teringin untuk bertemu dan mengenali ibu bapa kandungnya.

Jelas remaja itu, beliau hanya menyedari status dirinya sebagai anak angkat setelah diberitahu kedua-dua penjaganya ketika masih kecil.

"Tidak tahu sama ada mereka (ibu bapa kandung) mahu mengenali saya lagi atau tidak.

Namun jujurnya saya amat teringin untuk mengetahui identiti asal ibu bapa kandung.

"Saya amat berharap mereka masih dapat mengenali diri ini lagi dan menghubungi saya semula," ujarnya.