Lelaki pukul, pijak kepala anak perempuan ditahan

PDRM
PDRM
A
A
A

AMPANG - Seorang bapa ditahan pada Khamis selepas tergamak memijak kepala anak perempuannya berusia 16 tahun gara-gara enggan mengikut arahan untuk meminjam wang daripada saudara mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya di kediaman mereka di Pansapuri Sagaria, Taman Saga, di sini, pada Rabu.

"Suspek telah menyuruh ibu mangsa meminta duit dari ahli keluarga lain namun dia enggan menyebabkan suspek marah dan menarik rambut isterinya.

"Kemudiannya, suspek telah meminta mangsa menemani ibunya namun mangsa enggan menemani ibunya ke rumah ahli keluarga lain untuk meminta wang menyebabkan suspek berang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Farouk berkata, akibat berang, suspek mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa dan bertindak memukul, menampar serta memijak kepala anaknya itu dalam kejadian sekitar jam 7.55 malam di kediaman mereka.

"Pada Khamis, kira-kira jam 4 pagi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ampang Jaya telah membuat serbuan di tepi Jalan Saga 6A, Taman Saga dan menangkap suspek yang disyaki terlibat kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek yang berusia lingkungan 50-an tersebut mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan motif kejadian dipercayai akibat salah faham berkenaan masalah kewangan.

"Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang merujuk kepada sengaja menyebabkan kecederaan," ujarnya.