STPM 2021: 45 sekolah lulus 100 peratus di Kelantan

Mohd Zin (tengah) semasa Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2021 di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Kota Bharu pada Khamis
Mohd Zin (tengah) semasa Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2021 di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Kota Bharu pada Khamis
A
A
A

KOTA BHARU - Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini membanggakan apabila 45 daripada 60 buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus.

Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN), Mohd Zin Halim berkata, 15 buah sekolah lagi pencapaiannya ialah 91.67 peratus ke atas.

"Peratusan kelulusan keseluruhan calon STPM tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.01 peratus iaitu 99.36 peratus yang melibatkan seramai 3,399 calon daripada jumlah keseluruhan 3,421 calon.

"Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) pula mencatatkan keputusan yang sama pada tahun lalu iaitu 2.92 mata," katanya semasa Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2021 di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan pada Khamis.

Menurutnya, calon yang mendapat lima dan empat prinsipal seramai 2,835 orang (82.92 peratus) menyaksikan peningkatan sebanyak 2.05 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, sekolah paling cemerlang di Kelantan bagi keputusan STPM ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas (GPS 3.51), SMK Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas (GPS 3.27) dan SMK Pengkalan Chepa, Kota Bharu (GPS 3.27).

Katanya, seramai enam calon STPM Orang Asli di Gua Musang turut mendapat keputusan memberangsangkan.

Dalam pada itu, Mohd Zin berkata, secara keseluruhannya pencapaian PNGK di Kelantan ialah 2.92 berbanding peringkat nasional iaitu 2.79 iaitu 0.13 mata mengatasi peringkat nasional.

"Saya mewakili warga pendidik seluruh negeri Kelantan mengucapkan syabas dan tahniah kepada calon-calon yang telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam STPM 2021 lalu.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk pegawai dan kakitangan JPN Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua, guru-guru, kakitangan sekolah, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta agensi kerajaan dan swasta yang turut menjadi sebahagian tunjang kejayaan ini,"ujarnya.