[VIDEO] Lebih separuh calon cemerlang STPM golongan B40

Mohd Ekhwan ketika sidang media pengumuman keputusan Peperiksaan STPM tahun 2021 di MPM, Batu Caves pada Khamis.
Mohd Ekhwan ketika sidang media pengumuman keputusan Peperiksaan STPM tahun 2021 di MPM, Batu Caves pada Khamis.
A
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Seramai 584 calon yang mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 2021 adalah golongan B40.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, nilai tersebut mewakili 66.82 peratus daripada jumlah calon cemerlang STPM 2021 iaitu seramai 874 calon.

Menurutnya, bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 turut meningkat sebanyak 133 calon daripada 741 calon pada tahun 2020 kepada 847 calon pada tahun 2021.

"Dari segi pencapaian PNGK calon secara keseluruhan meningkat berbanding tahun 2020 dengan peratusan longgokan calon STPM 2021 pada PNGK 3.75 dan ke atas sebanyak 9.04 peratus manakala PNGK 3.00 dan ke atas ialah 41.72 peratus.

"Selain itu, PNGK 2.75 dan ke atas (55.85 peratus), PNGK 2.00 dan ke atas (88.24 peratus) turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2020.

"Dengan peningkatan peratusan bilangan calon pada PNGK ini, maka boleh dijangka tiada halangan untuk lebih ramai calon lepasan STPM 2021 diterima masuk ke universiti awam (UA) pada tahun ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan STPM tahun 2021 di MPM, Batu Caves pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Ekhwan turut memaklumkan buat pertama kalinya sejak tahun 2013, tiada jurang perbezaan dari segi keputusan peperiksaan STPM tahun 2021 antara calon bandar dengan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa PNGK Nasional STPM tahun 2021 ialah 2.79 iaitu meningkat sebanyak 0.01 berbanding tahun sebelumnya.

"Bagaimanapun, ia dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2020 kerana perbezaan peningkatannya yang sangat kecil dan tidak menggambarkan signifikan besar kepada pencapaian calon STPM 2021 berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Seramai 42,369 calon mendaftar bagi menduduki peperiksaan STPM bagi tahun 2021 dengan 40,926 calon mewakili 96.59 peratus hadir bagi menduduki peperiksaan berkenaan.