Mayat dua kanak-kanak dikhuatiri lemas ditemui

Mayat salah seorang mangsa yang ditemukan selepas dilaporkan hilang di Sungai Triang, Bera pada Selasa. - Foto Ihsan JBPM
Mayat salah seorang mangsa yang ditemukan selepas dilaporkan hilang di Sungai Triang, Bera pada Selasa. - Foto Ihsan JBPM
A
A
A

BERA - Mayat dua kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Triang dekat jeti Pasar Ayam Kerayong di sini ditemukan selepas dilaporkan hilang pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N Kumaran memberitahu, mayat mangsa berusia 15 tahun ditemui terapung kira-kira 70 meter dari lokasi kejadian pada jam 10.25 malam pada Rabu oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Menurutnya, pasukan terbabitt kemudiannya menemui mayat kedua iaitu mangsa berusia 11 tahun kira-kira 300 meter dari tempat kejadian pada jam 1.40 pagi pada Khamis.

"Kedua-dua mayat telah di hantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, kedua-dua mangsa bersama enam lagi rakan mereka datang ke lokasi kejadian namun hanya beberapa orang yang mandi termasuk dua mangsa terbabit.

Mangsa dikatakan menggunakan pelampung tiub tayar lori di tengah sungai sebelum tiba-tiba kedua-duanya dipercayai terlepas dari tiub terbabit dan terus dihanyutkan arus deras.