Indeks jenayah Sabah meningkat 22.06 peratus

Idris
Idris
A
A
A

KOTA KINABALU - Indeks jenayah di Sabah meningkat sebanyak 439 kes atau 22.06 peratus sepanjang tempoh tujuh bulan tahun ini berbanding tahun lalu bagi tempoh yang sama.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, peningkatan itu adalah bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai lalu dengan 2,429 kes yang dicatatkan berbanding 1,990 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Dari segi pecahan, sebanyak 2,153 kes membabitkan jenayah harta benda yang menunjukkan peningkatan sebanyak 24.25 peratus atau 423 kes.

"Jenayah kekerasan pula menunjukkan peningkatan 6.15 peratus atau 16 kes bagi tempoh Januari hingga Julai lalu," katanya selepas menghadiri Majlis Santai Sepetang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Media Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Tahun di sini, pada petang Rabu.

Beliau berkata, Kontinjen Sabah juga menduduki tangga keempat selepas Perak untuk perbandingan indeks jenayah bagi tempoh berkenaan.

"Begitu juga dari segi penyelesaian kes di mana Sabah menduduki tempat keempat dengan 72.30 peratus berbanding 14 kontinjen di seluruh negara.

"Namun jika dibandingkan statistik indeks jenayah bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai 2019 (sebelum Covid-19) dengan 2022 bagi tempoh yang sama, terdapat penurunan yang agak ketara.

"Pada 2019, indeks jenayah keseluruhannya adalah sebanyak 3,340 kes dan ini menunjukkan penurunan sebanyak -911 kes bersamaan dengan -27.28 peratus," katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata, PDRM Sabah akan terus berusaha dan memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha menurunkan kadar jenayah supaya masyarakat berasa selamat.

"Namun, usaha ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama yang padu daripada masyarakat. Justeru, PDRM Sabah amat mengalu-alukan masyarakat menyalurkan apa juga maklumat dan aktiviti yang meragukan dalam menjaga keamanan negeri ini," katanya.