Negeri Sembilan bincang RUU Anti Lompat Parti Oktober ini

Datuk Seri Aminuddin Harun
Datuk Seri Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Oktober ini bagi membentangkan pelaksanaan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di negeri tersebut.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia berdasarkan keputusan yang dibuat pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada Rabu.

Sidang khas DUN akan diadakan pada Oktober nanti. Sudah tentu tumpuan kepada anti lompat parti dan satu lagi mengenai RUU sedang dipertimbangkan yang akan dimaklumkan kemudian," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Aminuddin memaklumkan kerajaan Negeri bersedia untuk mengadakan sidang khas DUN bagi membentangkan pelaksanaan berkaitan RUU Anti lompat Parti di Negeri Sembilan.

Katanya, sidang khas itu bagaimanapun bergantung kepada tempoh RUU tersebut diwartakan di peringkat kerajaan pusat.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu menampilkan timbalan presiden dan naib-naib presiden parti bagi mengetuai pasukan negeri untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ini merupakan pertama kali dibuat PKR, menunjukkan selepas pemilihan, parti dalam keadaan baik, bukan hanya berpolitik tetapi bawa harapan untuk rakyat, tak nampak ada perebutan dan diterima semua lapisan,” katanya.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan menerusi Facebooknya berkata, timbalan presiden dan naib-naib presiden parti mengetuai pasukan negeri untuk berdepan dengan PRU15.

Katanya, bagaimanapun, langkah berani diambil itu tidak termasuk Sabah dan Sarawak kerana Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) akan dipilih menerusi majoriti ketua cabang.