Waris sultan fail semakan keputusan rayuan tanah pusaka

Tengku Ibrahim (duduk) bersama peguamnya, Musa (kiri) di pekarangan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri di Kuala Terengganu pada Rabu.
Tengku Ibrahim (duduk) bersama peguamnya, Musa (kiri) di pekarangan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri di Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah mewakili 309 waris Sultan Zainal Abidin III memfailkan permohonan semakan keputusan rayuan Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu berhubung status tanah Cap Zuriat Sungai Mengkuang (CZSM) yang diambil balik kerajaan negeri pada 1923 di Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu, di sini, pada Rabu.

Dalam permohonan dan afidavit setebal 38 halaman yang mengandungi 14 lampiran ekshibit, waris Sultan Zainal Abidin III menamakan kerajaan Terengganu sebagai responden.

Peguam syarie, Musa Awang berkata, tindakan itu diambil berikutan tiada maklum balas daripada kerajaan negeri berhubung permohonan menggantikan tanah pusaka tersebut, selepas pertemuan bersama Menteri Besar pada 4 April tahun lalu.

"Permohonan itu dibuat mengikut hukum syarak di bawah Perkara 49A (3) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

"Waris memohon Mahkamah Rayuan Syariah Negeri memutuskan tanah CZSM seluas 5,463 hektar kekal sebagai harta pusaka yang masih belum dibuat pembahagian," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Musa berkata, tanah CZSM yang dipindahkan kepada kerajaan negeri itu telah dibangunkan sebagai tanah rancangan Felda dan diagih-agihkan kepada peserta selain telah berlaku pembangunan yang ketara.

Menurutnya, harta pusaka Sultan Zainal Abidin III tersebut perlu diganti dengan tanah lain melalui kaedah penggantian istibdal tanah yang lain.

"Waris terlibat memohon Mahkamah Rayuan Negeri memerintahkan responden iaitu kerajaan negeri menggantikan dan melaksanakan istibdal bagi satu per dua bahagian tanah harta pusaka Sultan Zainal Abidin III seluas 5,463 hektar ke lokasi lain yang dikenal pasti dan dicadangkan oleh pemohon," katanya.

Musa berkata, pemohon kini menunggu tarikh pendengaran panel rayuan daripada Mahkamah Rayuan Syariah Negeri.