Projek Melaka Gateway didakwa tiada laporan EIA

Poay Tiong (tiga dari kanan) menggesa projek Melaka Gateway dihentikan kerana tidak mengemukakan laporan EIA di Pulau Melaka pada Rabu.
Poay Tiong (tiga dari kanan) menggesa projek Melaka Gateway dihentikan kerana tidak mengemukakan laporan EIA di Pulau Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka digesa menghentikan segera Projek Melaka Gateway di Pulau Melaka, yang didakwa belum mengemukakan sebarang Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, projek mega itu harus dihentikan sehingga siasatan penuh diberikan dan penjelasan dibuat mengenai status laporan EIA.

Menurutnya, jawapan bertulis yang diberikan Kementerian Alam Sekitar dan AIr ketika sesi parlimen lalu adalah bahawa pemaju, Syarikat KAJ Development Sdn Bhd masih belum memberikan laporan EIA bagi penilaian dan kelulusan oleh Ketua Pengarah Alam Sekeliling di bawah Seksyen 34 A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Katanya, pihak berkenaan perlu memberi penjelasan mengenai hal ini dan ketidaktelusan projek akan menjejaskan integriti serta keyakinan rakyat terhadap pihak pentadbiran sekarang.

"Saya telah mengemukakan pertanyaan bertulis kepada kementerian itu mengenai status laporan EIA projek tersebut sama ada kelulusan telah diberikan atau sebaliknya pada sesi parlimen lalu.

"Namun jawapan yang diberikan oleh menteri bertarikh 8 Ogos lalu amat mengejutkan dan menyatakan syarikat terbabit tidak pernah mengemukakan apa-apa laporan EIA kepada JAS," katanya ketika sidang akhbar di Pulau Melaka di sini, pada Rabu.

Jelasnya, kegagalan Melaka Gateway mengemukakan laporan EIA bertentangan dengan seksyen yang berkaitan dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling serta Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling 2015.

Ujarnya, sebarang projek melibatkan penebusgunaan tanah (penambakan), khususnya yang melibatkan pulau buatan manusia ataupun yang melebihi 50 hektar perlu mendapatkan kelulusan EIA daripada JAS terlebih dahulu sebelum projek dilaksanakan.

Katanya turut mendakwa, Melaka Gateway bukan sahaja gagal mencapai matlamat yang ditetapkan malah merosakkan alam sekitar dan pesisiran pantai di Melaka.

"Saya juga akan berbincang dengan penduduk tempatan dan peguam untuk menentukan sama ada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kes ini demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Projek Mega yang dianggarkan bernilai RM42 bilion itu telah dilancarkan pada 2014 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Difahamkan projek itu mampu menyediakan kira-kira 40,000 peluang pekerjaan dan akan membawa masuk 2.5 juta pelancong setiap tahun.