Jahil penggunaan bendera boleh bawa penghinaan: Pakar

Kemeriahan suasana menjelang sambutan pada 31 Ogos ini juga dapat disaksikan menerusi pengibaran Jalur Gemilang. Foto Bernama.
Kemeriahan suasana menjelang sambutan pada 31 Ogos ini juga dapat disaksikan menerusi pengibaran Jalur Gemilang. Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas dua tahun Hari Kebangsaan tidak disambut meriah akibat penularan pandemik Covid-19, rakyat pastinya teruja untuk meraikan hari penuh makna itu kali ini yang turut menandakan ulang tahun ke-65 kemerdekaan negara.

Apatah lagi pelbagai aktiviti telah diatur dan dilancar oleh kerajaan dan pihak berkenaan, memenuhi Bulan Kebangsaan kali ini, bagi menyemarakkan lagi sambutan dan meningkatkan patriotisme dalam kalangan rakyat, selaras dengan tema sambutan "Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.

Kemeriahan suasana menjelang sambutan pada 31 Ogos ini juga dapat disaksikan menerusi pengibaran Jalur Gemilang, baik di sepanjang jalan-jalan utama, bangunan ataupun dilekatkan pada kenderaan.

Ada juga individu kreatif yang menjadikan bendera Malaysia itu sebagai pakaian dan replika pelbagai objek, demi melahirkan rasa cinta kepada negara.

Namun, mungkin ramai tidak menyedari bahawa cara mereka mengibarkan atau menggunakan bendera yang merupakan lambang kebesaran dan kedaulatan sesebuah negara, adalah tidak bersesuaian atau salah, sekali gus menyebabkan niat murni untuk meraikan sambutan kemerdekaan berisiko menjadi penghinaan.

Keadaan ini berpunca daripada kurangnya pengetahuan mengenai protokol penggunaan bendera yang sebenarnya kata Felow Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Teo Kok Seong, mempunyai beberapa peraturan, bersesuaian dengan statusnya.

Wajib dihormati

Mengulas lanjut kepada Bernama, beliau berkata, ada tatasusila yang perlu diikuti berdasarkan pada panduan am global mengenai penggunaan bendera, dan satu daripadanya adalah bendera tidak boleh digunakan sebagai pakaian.

Artikel Berkaitan:

"Sesetengah cara rakyat negara ini, dalam keterujaan meraikan Bulan Kebangsaan, didapati tidak menghormati bendera apabila ada yang menjadikannya pakaian dan sebagainya.

"Walaupun ketika ini ia tidaklah menjadi satu kesalahan sehingga (boleh) didenda, sebenarnya bendera sewajarnya hanya dikibarkan kerana maksud asas bendera itu sendiri ialah mengibarkan atau mengapungkan di atas angin,” katanya.

Beliau berkata, bendera selain menjadi lambang kebesaran negara, juga berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah bangsa, agama dan ibu pertiwi, serta lambang kepimpinan dan kewarganegaraan bagi sesebuah negara.

Justeru, penggunaan bendera dan penghormatan ke atasnya perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan, iaitu sebagai satu simbol nasionalisme, patriotisme dan cintakan negara.

Menurut e-Book yang diterbitkan Jabatan Penerangan (Japen) pada 2020, terdapat beberapa etika yang perlu dipatuhi rakyat dalam menggunakan bendera.

Penggunaan bendera yang ditafsirkan sebagai merendahkan martabat Jalur Gemilang seperti tudung, songkok, samping dan sebagainya adalah tidak dibenarkan, namun penggunaan warna asas dan motif bendera iaitu merah, putih, biru dan kuning dibolehkan.

Selain itu, penggunaan bendera dalam pelbagai gaya, gambar serta bentuk yang diubah fizikal bagi tujuan mempromosikan sambutan Bulan Kebangsaan dan penggunaan Jalur Gemilang pada perhiasan logo juga tidak dibenarkan, sementara dalam infografik pula bendera tidak boleh bertindih dengan teks.

Pemantauan?

Kok Seong memahami keterujaan rakyat yang sanggup "berhabis” demi menyediakan pakaian dan lain-lain mengikut kreativiti masing-masing menggunakan Jalur Gemilang, namun katanya masyarakat perlu didedahkan kepada peraturan penggunaan bendera yang sewajarnya.

Malangnya kata beliau, hingga ke hari ini tidak ada mana-mana pihak, baik daripada kerajaan ataupun badan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan nasionalisme dan patriotisme, bertindak menegur penggunaan bendera yang tidak wajar itu.

"Saya pasti ada penguat kuasa yang melihat isu ketidakwajaran penggunaan bendera seperti menjadikannya tudung, baju dan sebagainya yang tidak mengikut etika, akan tetapi mereka seolah-olah menutup sebelah mata dengan situasi tersebut.

"Justeru, saya mencadangkan pihak berwajib untuk lebih menguar-uarkan etika atau buku penggunaan bendera kepada rakyat dengan lebih meluas, terutamanya di sekolah, kerana ada antaranya tidak memasang Jalur Gemilang mengikut panduan ditetapkan,” katanya.

Menurut Teo, pendedahan mengenai garis panduan penggunaan bendera boleh dilakukan menerusi pelbagai cara, termasuk media sosial, televisyen atau semasa slot berita utama setiap saluran atau surat khabar kerana liputannya yang meluas.

Beliau yakin sekiranya pengetahuan dan panduan itu disebar luas dengan bersungguh-sungguh oleh pihak berwajib, rakyat akan lebih cakna dan maklum akan etika yang sewajarnya dalam memuliakan penggunaan Jalur Gemilang.

Akta Lambang dan Nama (1963)

Sementara itu, pakar perlembagaan Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, bendera atau lambang adalah tidak wajar digunakan bagi tujuan perdagangan dan perniagaan.

"Dalam akta ini tidak dinyatakan sekiranya terdapat penggunaan tidak wajar seperti menjadikan bendera pakaian dalam dan sebagainya, justeru timbul persoalan di sini adakah kita memerlukan undang-undang menyekat dan menghukum mereka yang menggunakan bendera atau jata secara tidak wajar?

"Semua warganegara atau bukan warganegara, seharusnya menghormati bendera sesebuah negara tersebut dan ini merupakan ‘human behaviour’ seseorang, iaitu tingkah laku sosial yang perlu ada dalam kalangan masyarakat, iaitu menghormati bendera,” katanya kepada Bernama.

Mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, adalah tidak dibenarkan, kecuali atas kebenaran kerajaan, mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

Perkara ini termasuk dalam tajuk apa-apa paten, cap dagangan atau reka bentuk dan membuat bagi maksud jualan atau menjual.

Akta ini juga telah dipinda pada 2017, yang mana pindaan dibuat bagi hukuman, iaitu mana-mana orang yang melanggar Seksyen 3 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Ketika ditanya mengenai keperluan undang-undang yang menghukum mereka yang menggunakan bendera secara tidak wajar, Shamrahayu berkata, walapun hukuman itu perlu, lebih penting adalah penghayatan seseorang itu terhadap makna bendera.

Sehubungan itu beliau berharap pihak berkaitan dapat menguar-uarkan garis panduan penggunaan bendera secara betul dengan lebih meluas. - Bernama.