Bencana Chernobyl 1986 mungkin berulang?

Kenderaan tentera Rusia melalui pintu masuk loji nuklear Zaporizhzhia yang merupakan kemudahan terbesar di Eropah.
Kenderaan tentera Rusia melalui pintu masuk loji nuklear Zaporizhzhia yang merupakan kemudahan terbesar di Eropah.
A
A
A

KIEV - Bencana di loji nuklear Zaporizhzhia di selatan Kiev yang kini dikuasai Rusia berisiko mengancam seluruh Eropah.

Amaran itu diberikan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada lewat Isnin selepas tentera Rusia didakwa terus memperhebatkan serangan mereka ke atas komuniti dan bandar berhampiran kemudahan tersebut.

“Sebarang insiden kebocoran radiasi di Zaporizhzhia boleh memberi impak besar kepada blok Kesatuan Eropah (EU), Turkiye, Georgia dan negara lain. Ia bergantung kepada arah dan kelajuan angin.

“Jika tindakan Rusia mencetuskan bencana nuklear, kesannya akan turut dirasai negara antarabangsa yang masih berdiam diri sehingga kini,” ujarnya.

Zelenskyy sekali lagi menggesa komuniti antarabangsa supaya melaksanakan sekatan baharu lebih ketat terhadap Moscow dan tidak tunduk kepada ‘peras ugut nuklear’.

Menurutnya, kesemua tentera Rusia perlu segera berundur daripada kemudahan itu dan kawasan sekitarnya tanpa sebarang syarat untuk mengelakkan malapetaka seperti bencana Chernobyl pada 1986 berulang.

Ketika ini, kebimbangan semakin meningkat selepas Ukraine dan Rusia sekali lagi saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain setelah insiden serangan dilaporkan berlaku berhampiran loji nuklear terbesar Eropah tersebut.

Kompleks tersebut terletak di kawasan bandar Enerhodar yang kini dikuasai tentera Rusia.
Kompleks tersebut terletak di kawasan bandar Enerhodar yang kini dikuasai tentera Rusia.

Sejak minggu lalu, kompleks tersebut yang terletak di Enerhodar dikatakan telah beberapa kali dibedil setelah tentera Rusia kini menguasai bandar tersebut.

Ketua Pentadbiran daerah Nikopol, Yevhen Yevtushenko berkata, kira-kira 25 serangan artileri berat dilancarkan daripada M777 Howitzer telah mengenai kawasan penempatan penduduk dan kemudahan tersebut.

Agensi berita Interfax di Moscow bagaimanapun mendakwa tentera Ukraine yang bertanggungjawab melancarkan serangan hingga menyebabkan letupan berlaku dekat dengan loji berkenaan.

Pada Khamis lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres telah menggesa penubuhan zon bebas tentera di sekitar Zaporizhzhia setelah serangan semakin meningkat.

Gesaan itu dibuat selepas pakar nuklear menzahirkan rasa khuatir jika insiden pertempuran sengit itu berisiko memusnahkan kolam bahan api atau reaktor di kompleks berkenaan hingga mencetuskan kebocoran radiasi pada paras berbahaya yang boleh mengancam komuniti setempat dan merebak ke negara lain.

Rusia beri lampu hijau

Bagi memastikan situasi sebenar di Zaporizhzhia, PBB memaklumkan ia mempunyai kapasiti logistik dan keselamatan untuk menyokong lawatan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke kemudahan berkenaan.

Namun, Moscow dikatakan telah meletakkan syarat dan tidak membenarkan misi tersebut melalui Kiev atas faktor keselamatan berikutan pertempuran sengit masih berlangsung.

Kompleks tersebut terletak di kawasan bandar Enerhodar yang kini dikuasai tentera Rusia.
Kompleks tersebut terletak di kawasan bandar Enerhodar yang kini dikuasai tentera Rusia.

“Sekretariat PBB tidak mempunyai kuasa untuk menyekat atau membatalkan sebarang aktiviti IAEA. Tetapi, Rusia dan Ukraine perlu mencapai persetujuan tentang perkara tersebut,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Difahamkan, Ketua IAEA, Rafael Grossi telah menyatakan kesediaan untuk mengetuai misi tersebut dan turut meminta Rusia dan Ukraine bekerjasama bagi memastikan kelancaran proses itu.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova memberitahu mereka akan melakukan segala yang diperlukan untuk membenarkan kunjungan pakar IAEA ke Zaporizhzhia.

“Kami bersedia memberikan maklumat penilaian yang tepat kepada mereka,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Parlimen Ukraine melanjutkan pelaksanaan undang-undang tentera bagi tempoh tiga bulan lagi malah ia turut mengumumkan rancangan untuk menguasai semula Zaporizhzhia dan wilayah Kherson yang merupakan kawasan terbesar ditawan Moscow sejak kempen pencerobohan dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Tentera Ukraine juga dikatakan sedang berusaha menangkis serangan selepas tentera Rusia semakin mara ke beberapa bandar di wilayah timur Donetsk yang menjadi fokus utama konflik tersebut yang telah berlarutan selama enam bulan. - Agensi

INFO:

- Kemudahan nuklear terbesar Eropah itu dikuasai tentera Rusia sejak awal Mac lalu.

- Zaporizhzhia terus menjadi sasaran bedilan sejak akhir Julai yang menyaksikan Moscow dan Kiev saling menuding jari menuduh antara satu sama lain.

- Pertempuran sengit di kawasan kompleks itu telah menjadi subjek utama dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Khamis lalu.

- Ukraine mendakwa Rusia menggunakan kemudahan itu sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan dan depot senjata. KIEV