Pengarah PBT, suami ditahan disyaki salah guna kuasa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah sebuah majlis perbandaran di negeri ini bersama suaminya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa dipercayai terlibat salah guna kuasa bagi tempoh antara 2019 dan 2020.

Menurut sumber, wanita berkenaan telah menggunakan kedudukannya dengan mempelawa syarikat yang mana suaminya mempunyai kepentingan untuk melakukan kerja-kerja penilaian sebuah majlis perbandaran.

"Wanita terbabit dan suaminya yang berusia dalam lingkungan lewat 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Selangor sekitar kira-kira jam 1 petang.

"Suspek wanita itu dipercayai telah menggunakan jawatannya dengan mempelawa syarikat perunding swasta yang mana suaminya mempunyai kepentingan bagi melakukan kerja-kerja penilaian melibatkan nilai keseluruhan lebih RM445,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

"Kedua suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok (Rabu)," katanya.