[VIDEO] Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh prosiding rayuan

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. - Foto bernama
Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. - Foto bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai lima panel hakim menyatakan demikian selepas peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Hisyam Teh Poh Teik mengemukakan permohonan secara lisan untuk menangguhkan prosiding berkenaan.

Tengku Maimun yang bersidang bersama empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudiannya menetapkan prosiding berjalan seperti biasa pada pagi Khamis ini.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mengambil maklum bahawa sudah menjadi hak Najib selaku pemohon untuk memilih peguam baharu bagi mewakilinya dalam rayuan akhir.

"Namun, pemohon tidak boleh buat pusingan U dan menyatakan peguam baharunya tidak bersedia untuk meneruskan pendengaran rayuan.

"Pemohon tahu bahawa tarikh prosiding telah ditetapkan lebih awal tetapi tetap memilih untuk memberhentikan khidmat Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan firma guaman Tetuan Shafee & Co lalu melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners dan barisan peguam lain antaranya Hisyam Teh Poh Teik," katanya.

Tengku Maimun berkata, alasan permohonan itu bukan sahaja tidak kukuh, malah tidak munasabah.

Selain itu beliau berkata, mahkamah mengambil kira keadilan kepada semua pihak yang berkenaan termasuk dana awam, agar tidak akan dibazirkan ekoran mahkamah terbiar (tidak bersidang).

Katanya, dana awam akan dibazirkan jika penangguhan seperti kes ini dijadikan contoh.

Semasa prosiding petang Selasa, Hisyam memohon agar prosiding rayuan akhir ditangguhkan supaya mereka dapat membuat persediaan lebih rapi.

Ini kerana beliau berkata, prosiding ini mempunyai dokumen yang banyak, terdapat 179 jilid, ada juga yang mencecah sehingga 1,000 muka surat, tidak termasuk keterangan saksi yang ramai.

“Dengan rasa rendah diri, saya memohon kepada mahkamah, biasanya saya tidak datang ke mahkamah untuk meminta penangguhan melainkan ada keperluan.

“Saya dengan penuh ikhlas, merayu supaya keadilan bukan saja dilaksanakan, malah dilihat sudah dilaksanakan, oleh itu, berikan peluang kepada saya dan pasukan kami untuk membuat persiapan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V Sithambaram memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.