Perak tawar pihak swasta urus Kompleks Sejarah Pasir Salak

Saarani (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia pada Selasa.
Saarani (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia pada Selasa.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Perak mengalu-alukan pihak swasta yang berminat untuk mengurus atau mengambil alih Kompleks Sejarah Pasir Salak bagi membolehkan ia kembali beroperasi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, isu Kompleks Sejarah Pasir Salak itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco malah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi diberi tanggungjawab untuk menguruskan perkara berkenaan.

Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri belum mendapat anggaran kos sebenar bagi pemuliharaan tersebut tetapi difahamkan ia membabitkan belanja yang agak tinggi.

"Kalau ada mana-mana pihak swasta yang ingin menguruskannya, mereka boleh datang kepada kerajaan negeri menyerahkan kertas cadangan, sebab yang penting bukan sahaja memulihara tetapi menyelenggara. Kita mungkin ada duit nak memulihkannya tetapi nak selenggara, nak jaga hari-hari kita perlukan operator.

"Jadi mana-mana pihak yang berjaya menawan hati kita dan pada pendapat kita dia boleh membantu bukan sahaja memulihara tetapi turut menyelenggara.

"Setakat ini kita belum dapat lagi," katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia pada Selasa.

Saarani berkata, sekiranya kos pemuliharaan kompleks terbabit tidak tinggi kerajaan negeri sedia mengeluarkan perbelanjaan tetapi jika melibatkan jumlah yang besar, maka pihaknya akan memohon bantuan kerajaan Persekutuan.

Sinar Harian pada Isnin menyiarkan keadaan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang satu ketika dahulu gah tetapi kini semakin hilang seri apabila beberapa bangunan di situ sudah reput dan tidak boleh lagi dikunjungi oleh orang ramai.

Tinjauan mendapati semua Rumah Kutai yang terdapat di kompleks tersebut tidak boleh dimasuki pengunjung termasuklah Galeri Sejarah Negeri Perak.

Hanya beberapa tugu dan terowong masa yang masih boleh dikunjungi pelawat.