Tiada cadangan kompaun premis belum kibar Jalur Gemilang

Dr Izani (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah dan sijil Johan Kempen Premis Makanan Terbersih 2022 kepada pemilik kedai makan, Noriza Yusof (dua dari kanan).
Dr Izani (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah dan sijil Johan Kempen Premis Makanan Terbersih 2022 kepada pemilik kedai makan, Noriza Yusof (dua dari kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak bercadang untuk mengenakan kompaun kepada premis-premis di negeri ini yang belum mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Kelantan sempena sambutan Kemerdekaan ke-65.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, bagaimanapun pemilik premis digalakkan untuk segera berbuat demikian dalam usaha menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Katanya, premis melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudahpun mengambil langkah mengibarkan bendera Malaysia bagi membangkitkan rasa cinta pada negara.

“Premis-premis yang belum lagi kibar bendera, setakat ini kita tidaklah mengenakan kompaun tetapi menggalakkan mereka untuk kibar bendera.

“Akan ada Mesyuarat Exco nanti dan keputusan esok lusa kita belum tahu lagi nak kompaun atau tidak, kita akan tengok semula nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Kempen Kesihatan Persekitaran 2022 dan Kempen Bebas Plastik, Polistren dan Straw di Dataran Muhammadi, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin.

Dr Izani turut mengakui semangat patriotisme dalam kalangan rakyat semakin menurun dan sepatutnya bulan Kemerdekaan ini menjadi medan untuk menonjolkan semula semangat itu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan peniaga makanan di negeri ini supaya meningkatkan tahap kebersihan dalam penyediaan makanan jualan mereka.

“Cara kitar semula lauk tidak boleh diamalkan oleh peniaga kerana boleh menyebabkan pelbagai penyakit berjangkit.

“Selainnya, disarankan untuk gantikan penggunaan plastik kepada bekas makanan mesra alam dan yang boleh dikitar semula bagi menyelamatkan alam sekitar daripada dipenuhi sampah plastik, polisterin dan penyedut minuman yang sukar terurai dan boleh mengakibatkan kanser,” katanya.