Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Bursa Malaysia pulih daripada kerugian semalam untuk dibuka lebih tinggi hari ini, didorong oleh minat belian baharu. - Foto hiasan
Bursa Malaysia pulih daripada kerugian semalam untuk dibuka lebih tinggi hari ini, didorong oleh minat belian baharu. - Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia pulih daripada kerugian semalam untuk dibuka lebih tinggi hari ini, didorong oleh minat belian baharu dalam kaunter produk dan perkhidmatan pengguna serta utiliti terpilih, kata peniaga.

Pada 9.25 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 7.66 mata kepada 1,511.67 daripada 1,504.01 pada penutup Isnin.

Indeks penanda aras utama itu dibuka 0.08 mata lebih tinggi pada 1,504.09.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 238 berbanding 163, manakala 279 kaunter tidak berubah, 1,585 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 343.07 juta unit bernilai RM185.71 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, FBM KLCI menyusut pada Isnin di tengah-tengah kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi China yang membawa kepada pengurangan kadar pinjaman yang tidak dijangka.

"Walaupun pasaran mungkin diniagakan menjurus kepada mod positif dan prospek yang lebih cerah dalam musim pendapatan yang berterusan ini, kelembapan ekonomi China mungkin menunjukkan risiko dan lonjakan kebimbangan terhadap kemelesetan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa harga minyak mentah telah merosot di tengah-tengah jangkaan prospek permintaan China yang rendah, didagangkan sekitar paras US$95 setong, manakala minyak sawit mentah pula melepasi paras RM4,200 satu tan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB semuanya menambah 1.0 sen setiap satu kepada RM8.92, RM4.67, RM8.79 dan RM5.44, manakala IHH Healthcare naik 5.0 sen kepada RM6.54.

Bagi saham aktif, Green Packet meningkat setengah sen kepada 5.5 sen, Top Glove memperoleh 3.5 sen kepada 83 sen, manakala Cnergenz susut 1.5 sen kepada 75 sen dan Borneo Oil tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 42.72 mata kepada 10,703.26, Indeks FBMT 100 naik 44.51 mata menjadi 10,450.28 manakala Indeks FBM Emas Syariah melonjak 59.35 mata kepada 10,828.89.

Sementara itu, FBM 70 memperoleh 20.15 mata kepada 12,727.55 dan FBM ACE lemah 26.67 mata kepada 4,932.79.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 20.79 mata kepada 16,789.62, Indeks Perladangan menokok 26.92 mata kepada 7,188.48, Indeks Tenaga susut 1.86 mata kepada 655.56 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh 0.55 mata kepada 183.65. - Bernama