‘Amerika suka buat kacau’

Aktivis pro-Beijing di Taiwan membantah lawatan Pelosi ke Taipei baru-baru ini.
Aktivis pro-Beijing di Taiwan membantah lawatan Pelosi ke Taipei baru-baru ini.
A
A
A

BEIJING - China menuduh Amerika Syarikat (AS) sengaja mencetuskan provokasi dan ketegangan terbaharu di Selat Taiwan.

Ia susulan lawatan mengejut rombongan delegasi anggota Kongres AS ke Taipei pada Ahad.

Lawatan diketuai Senator Demokrat, Ed Markey serta empat anggota Kongres lain itu dibuat 12 hari selepas kunjungan kontroversi Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi yang mencetuskan kemarahan Beijing.

Sebelum ini, pakar menganggap lawatan Pelosi ke Taiwan merupakan ‘muslihat Washington’ dan satu bentuk provokasi yang telah dirancang bagi tujuan mencetuskan konfrontasi besar-besaran dengan China.

Mengulas lawatan terbaharu AS itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengajian Asia Pasifik, Institut Kajian Antarabangsa China, Zhang Tengjun menyifatkan ia sebagai tindakan amat tidak bertanggungjawab.

Malah katanya, lawatan itu mendedahkan lagi sikap sebenar Washington yang suka mengulangi provokasi melampau terhadap negara yang tidak sealiran dengannya.

Ketibaan pertama delegasi anggota Kongres AS disambut diplomat Taiwan, Douglas Yu-tien Hsu (tengah) ketika mendarat di Lapangan Terbang Songshan di Taipei.
Ketibaan pertama delegasi anggota Kongres AS disambut diplomat Taiwan, Douglas Yu-tien Hsu (tengah) ketika mendarat di Lapangan Terbang Songshan di Taipei.

“Lawatan yang hanya didedahkan kepada umum pada saat akhir itu bukti nyata bahawa AS tidak mengendahkan amaran China yang dibuat sebelum ini berhubung ketegangan di Selat Taiwan.

Artikel Berkaitan:

“Mereka seolah-olah terperangkap dalam pemikiran sendiri dengan beranggapan bahawa China akan berdiam diri.

“Apa pun, lawatan kali ini adalah bukti bahawa AS cuba campur tangan dalam hal ehwal keselamatan global selain berkeras mahu mewujudkan krisis serta pergolakan di seluruh dunia.

“AS telah mengabaikan amaran keras China dan perlu berdepan ‘hukuman berat’ kerana provokasinya yang teruk,” ujar Tengjun.

Bermain dengan api

Jelas Tengjun lagi, kali ini AS benar-benar ‘bermain dengan api’ dan sekali lagi cuba menguji tahap kesabaran China.

“Lambat laun, AS akan ‘terbakar’ dan binasa. Sudah tentu China akan bertindak balas.

“Semua anggota Kongres AS yang melawat Taipei kali ini tidak terlepas daripada dikenakan sekatan sama seperti Pelosi,” katanya.

Minggu lalu, Presiden Xi Jinping dengan nada tegas berkata bahawa AS akan ‘membayar harga atas kesilapan sendiri’ dan menggesa.

Washington ‘segera menangani kesalahannya’ serta mengambil langkah praktikal bagi mengelakkan kesan buruk akibat lawatan Pelosi ke Taiwan.

Beliau turut mengulangi bahawa Taiwan adalah milik China dan Taiwan akan akhirnya kembali ke pangkuan tanah air.

“Rakyat China tidak takut kepada ‘hantu’, tekanan dan kejahatan,” kata Jinping.

Dalam pada itu, sumber ketenteraan China menyebut bahawa komando Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) di wilayah timur berkemungkinan akan menjalankan satu lagi latihan ketenteraan berskala besar melibatkan tembakan peluru hidup mengelilingi Taiwan.

Minggu lalu, China menamatkan latihan siri latihan ketenteraan di perairan sekitar pulau itu, termasuk tembakan amunisi hidup jarak jauh di Selat Taiwan.

Sokongan AS buat Taiwan

Sementara itu, Pejabat Presiden Taiwan dalam satu kenyataan menyebut bahawa lawatan terbaharu AS sebagai bukti sokongan tidak berbelah bahagi Washington terhadap Taipei dalam berdepan ancaman China.

“Ketika China meningkatkan ketegangan di Selat Taiwan dan rantau ini dengan menjalankan latihan ketenteraan, Markey yang memimpin delegasi ke Taiwan sekali lagi menunjukkan sokongan kukuh Kongres AS terhadap Taiwan.

“Ini menunjukkan hubungan persahabatan yang tidak goyah dengan ancaman dan ugutan China,” menurut kenyataan tersebut.

Beijing selama ini mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan berikrar merampas negara pulau itu walaupun terpaksa menggunakan tindakan ketenteraan. - Agensi