Keputusan FAM tepat

Laporan Sukan Sinar pada Isnin.
Laporan Sukan Sinar pada Isnin.
A
A
A

"INI bola sepak kita... ini liga kita... memang sesuai sangat untuk menggunakan khidmat pengadil tempatan. Pengadil tempatan juga layak mengadili perlawanan akhir.”

Itu reaksi bekas pengadil berpengalaman, Amir Sharifuddin Wong ketika mengulas keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu menggunakan khidmat pengadil tempatan pada aksi final Piala FA.

Menurutnya, ia satu keputusan tepat dibuat FAM dalam usaha mengetengahkan kredibiliti pengadil tempatan untuk mengadili perlawanan berprofil tinggi.

Malah, beliau memberitahu, FAM memiliki beberapa pengadil serta pembantu pengadil diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mampu menjalankan tugas mereka dengan baik.

“Walaupun ramai yang masih bercakap mengenai isu pengadil tempatan. Tetapi saya tetap menganggap pengadil tempatan masih ada wibawa dan kelayakan mereka tersendiri.

“Mungkin ada beberapa keputusan pengadil tempatan dalam liga sebelum ini dipersoal, tetapi itu tidak bermakna mereka tidak ada kualiti dan wibawa untuk menjadi pengadil.

“Jadi saya harap pengadil tempatan terus diberikan kepercayaan bagi mengadili perlawanan berprofil tinggi seperti aksi final Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada Ahad, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram mengesahkan aksi final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC akan diadili sepenuhnya oleh pengadil tempatan.

Kenyataan itu sekali gus memadam pelbagai spekulasi yang timbul sebelum ini apabila dikhabarkan FAM akan melantik pengadil dari luar negara bagi mengadili aksi final Piala FA 2022.

Untuk rekod, aksi final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak diadili pengadil dari Jepun, Takuto Abe dan dibantu dua rakan senegaranya, Akane Yagi dan Osamu Nomura, manakala pengadil tempatan, Razlan Joffri Ali bertugas selaku pengadil keempat.

Mengulas mengenai calon terbaik bagi mengadili aksi final Piala FA kali ini, Amir Syarifuddin berkata, FAM boleh memilih mana-mana pengadil FIFA yang ada ketika ini.

Beliau berkata, masih ada dalam kalangan pengadil tempatan yang masih belum berpeluang untuk mengadili perlawanan berprofil tinggi seperti aksi final.

Razlan ketika mengadili aksi final Piala Malaysia antara JDT dan KL City FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil tahun lalu.
Razlan ketika mengadili aksi final Piala Malaysia antara JDT dan KL City FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil tahun lalu.

“Mungkin kali ini FAM boleh beri peluang kepada Suhaizi (Shukri) sebab Amirul (Mohd Amirul Izwan Yaacob) dan Razlan pernah mengendalikan aksi final sebelum ini.

“Tetapi itu saya sekadar menyebut sebahagian nama pengadil tempatan saja, namun keputusan akhir hanya akan ditentukan pihak FAM,” jelasnya.