Pengadil tempatan adili final Piala FA

Sivasundaram
Sivasundaram
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa aksi final Piala FA 2022 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) akan diadili oleh sepenuhnya pengadil tempatan.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram yang mengakui badan induk itu kini sedang meneliti calon-calon pengadil berkenaan sebelum memuktamadkan pengadil yang tepat untuk mengadili aksi final tersebut.

Malah menurut Sivasundram, perkara itu dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat sekali gus dapat membantu urus setia bagi membuat persiapan menjelang aksi final kali ini.

“Kita pun belum tahu lagi venue dan bilakah tarikh sebenar perlawanan akhir Piala FA kali ini akan diadakan tetapi saya tegaskan, FAM akan gunakan pengadil tempatan untuk mengendalikan perlawanan akhir ini.

“Ya, memang terdapat cadangan terutamanya di media sosial supaya perlawanan akhir ini diadili pengadil luar negara, tetapi kita rasa lebih elok guna pengadil tempatan.

“Lagi pun, kita ada enam pengadil dan juga lapan pembantu pengadil yang diiktiraf Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), jadi kita akan gunakan khidmat mereka sekarang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Status pengadil yang bakal mengadili aksi final Piala FA 2022, mula hangat diperkatakan peminat bola sepak tempatan apabila pelbagai isu melanda watak penting di tengah padang itu sejak kebelakangan ini sehingga menyaksikan terdapat cadangan supaya khidmat pengadil luar digunakan bagi aksi final kali ini.

Dalam pada itu menurut Sivasundram yang juga Timbalan Presiden FAM, badan induk tersebut juga akan menggunakan khidmat pembantu pengadil tempatan bagi membantu pengadil di sepanjang aksi final berkenaan.

Katanya, ini merupakan masa yang tepat bagi memanfaatkan khidmat semua pengadil dan juga pembantu pengadil tempatan berkenaan yang mendapat pengiktirafan FIFA.

“Bukan hanya pengadil, tetapi secara keseluruhannya, kita juga akan gunakan khidmat pembantu pengadil tempatan bagi tujuan mengendalikan perlawanan akhir Piala FA kali ini.

“Selain memudahkan lagi urusan komunikasi, ia juga bertujuan membantu melancarkan lagi perlawanan akhir berkenaan,” katanya.

JDT menewaskan Penang FC 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri 5 Ogos lalu manakala TFC menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa tambahan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 6 Ogos bagi mengesahkan slot final edisi 2022.

Selain itu aksi final Piala FA kali ini juga istimewa dan ditunggu peminat bola sepak tanah air apabila JDT dan TFC bakal merebut trofi yang telah ‘tersimpan’ sejak dua tahun lalu apabila saingan Piala FA dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Kali terakhir aksi final Piala FA berlangsung adalah pada tahun 2019 yang menyaksikan Kedah (Kedah Darul Aman FC) muncul juara selepas menumpaskan Perak FC, 1-0 hasil jaringan pada masa tambahan di Stadium Nasional Bukit Jalil.