Sebak terima ijazah anak

Samsudin (kiri) menyampaikan ijazah kepada Ahmad Sabari yang mewakili anaknya, Allahyarhamah Siti Hafsah pada majlis konvokesyen UIAM Kampus Gombak pada Isnin.
Samsudin (kiri) menyampaikan ijazah kepada Ahmad Sabari yang mewakili anaknya, Allahyarhamah Siti Hafsah pada majlis konvokesyen UIAM Kampus Gombak pada Isnin.
A
A
A

GOMBAK - Setiap ibu bapa pasti bangga dan gembira apabila melihat anak mereka berjaya meraih segulung ijazah.

Begitu juga bagi Ahmad Sabari Kamari dan Zuraidah Ahmad Babji, namun pasangan suami isteri itu berubah sebak dan pilu apabila menerimanya bagi pihak anaknya, Allahyarhamah Siti Hafsah yang meninggal dunia Mei lalu.

Allahyarhamah yang meninggal dunia pada usia 26 tahun merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian.

"Dia meninggal dunia akibat daripada serangan asma yang dihidapi sejak kecil lagi.

"Sepanjang dia membesar, alat bantuan inhaler asma akan sentiasa dibawa ke mana-mana sahaja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-37 di sini pada Isnin.

Ijazah tersebut disampaikan oleh Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman.

Menurut Ahmad Sabari, Siti Hafsah merupakan anak bongsu daripada 11 orang adik-beradik dan mereka berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Jelasnya, anaknya itu dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Kota Kinabalu selepas keadaannya semakin teruk akibat serangan asma.

Artikel Berkaitan:

"Adik (Siti Hafsah) dikejarkan ke hospital setelah tidak sedarkan diri di rumah dan disahkan meninggal dunia di hospital pada 16 Mei lalu selepas tujuh jam bertarung nyawa. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” ujarnya.

Bercerita mengenai perwatakan Siti Hafsah, Ahmad Sabari berkata, Allahyarhamah merupakan seorang yang peramah, baik dan ceria.

"Setiap kali dia jatuh akan bangun dengan semangat dan azam yang kuat untuk berjaya. Dia juga sentiasa ada untuk semua ahli keluarga dan paling rapat dengan ibunya serta saya.

“Allahyarhamah Siti Hafsah juga seorang anak yang berusaha membuatkan semua orang gembira tanpa mengira penat lelah. Pemergian Siti Hafsah sangat dirindui,” katanya.