Pas tidak sebar persepsi, fakta tidak jelas

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menafikan dakwaan pihak tertentu yang menuduh parti itu termasuk beliau mengambil sikap membisu ketika isu melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dibangkitkan, namun lantang bersuara apabila ia berkait dengan pemimpin UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, sebelum ini, beliau pernah membangkitkan isu pembelian banglo bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Ogos 2020 dan juga mempertikaikan kenyataannya di Dewan Rakyat berkaitan isu Oktoberfest dan Bon Odori.

“Ini belum mengambil kira perbahasan yang menyentuh isu-isu lain melibatkan pimpinan PH dan juga perbahasan ahli-ahli Parlimen Pas yang lain di Dewan Rakyat yang sentiasa menyentuh isu-isu integriti, “ kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurutnya lagi, parti berkenaan menuntut agar apa-apa kes dibawa kepada siasatan yang lebih adil dan telus serta diserahkan kepada pihak yang mempunyai punca kuasa yang jelas tanpa membuat apa-apa spekulasi secara rambang.

“Pas tidak bekerja untuk sebarkan persepsi dan fakta yang tidak jelas,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai isu melibatkan status kapal tempur pesisir (LCS), pihaknya turut meminta untuk dijalankan siasatan yang lebih adil dan dibawa ke mahkamah jika terdapat bukti penyelewengan.

"Jika ada pihak lain bangkitkan, jangan dikaitkan dengan Pas kononnya Pas turut sama memftinah. Atau adakah kerana Pengerusi PAC ialah ahli Parlimen daripada DAP, maka secara sendirinya ia dianggap fitnah? Sudah tentu ia satu kesimpulan yang sangat tidak adil. Siasatlah dulu," katanya.

Melalui laporan Free Malaysia Today (FMT) pada Ahad lalu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa agar gabungan tersebut tidak membiarkan sahaja serangan pembangkang dalam isu LCS.

Katanya lagi, perkara tersebut boleh merosakkan masa hadapan parti berkenaan.