SUKIPT 2022: Kekalahan di AUG punca kemenangan Mohamad Firdaus

Mohamad Firdaus (kiri) dinobatkan sebagai juara bagi acara silat tanding kelas B
Mohamad Firdaus (kiri) dinobatkan sebagai juara bagi acara silat tanding kelas B
A
A
A

ATLET silat tanding dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohamad Firdaus Mohd Israj menyifatkan pingat emas yang dimenanginya di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 sebagai pengubat duka selepas gagal meraih pingat di Sukan Universiti ASEAN (AUG) baru-baru ini.

Mohamad Firdaus yang juga atlet Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan itu berjaya meraih pingat emas bagi acara silat tanding kelas B putra selepas menewaskan atlet Politeknik Malaysia, Muhammad Al Imran Mohd Nizam, 5-0 pada perlawanan akhir.

Menurutnya, kekalahan di AUG sebelum ini menjadi penyebab untuk dia bangkit dan membuktikan kemampuan sebenarnya dalam temasya SUKIPT kali ini.

“Saya nak tebus balik kekalahan saya di Sukan Universiti ASEAN (AUG) baru-baru ini dan saya nak ke AUG di Surabaya pula akan datang. Jadi, sebab itu saya kena menang di SUKIPT ini.

“Motivasi saya datang daripada kekalahan di AUG sebelum ini dan saya nak buktikan yang saya betul-betul boleh menang," katanya ketika di temui selepas perlawanan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selepas ini, Mohammad Firdaus akan mewakili Kelantan dalam acara yang sama iaitu silat tanding kelas B putra di Sukma.

"Selepas ini saya akan beraksi di Sukma bulan depan dengan mewakili negeri Kelantan," katanya.

Kem silat UPNM berjaya mendominasi acara silat dengan pungutan sebanyak lima emas sekali gus membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri dalam temasya SUKIPT edisi ke-5 ini.