Johor tubuh Jawatankuasa Pemandu Modal Insan

Mohd Hairi (tengah) dan Sing Chuang (kiri) bersama-sama para pencarum selepas Taklimat Inisiatif Baharu Kerajaan melalui Perkeso 2022 Peringkat Negeri di sini.
Mohd Hairi (tengah) dan Sing Chuang (kiri) bersama-sama para pencarum selepas Taklimat Inisiatif Baharu Kerajaan melalui Perkeso 2022 Peringkat Negeri di sini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor bertujuan mengatasi masalah yang timbul melibatkan sumber manusia serta penempatan pekerjaan di negeri ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, terdapat 42 agensi kerajaan pusat dan negeri akan terlibat dalam jawatankuasa tersebut.

"Kita juga sudah menubuhkan dua jawatankuasa yang akan membantu iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Penawaran dan Permintaan.

"Satu jawatankuasa induk dan satu jawatankuasa penawaran 'upskilling' dan 'reskilling'. Ini kerana banyak program berkaitan dilaksana tetapi akhirnya kita tidak nampak ke mana peserta program pergi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Inisiatif Baharu Kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 2022 Peringkat Negeri di sini.

Turut hadir, Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang.

Jelas Mohd Hairi, jawatankuasa itu bertujuan menumpukan bidang latihan melibatkan sektor pekerjaan yang memerlukan modal insan sekali gus menyeimbangkan permintaan dan penawaran melibatkan sumber manusia di Johor.

Katanya, 19 agensi merupakan ahli tetap jawatankuasa itu antaranya Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Invest Johor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Pendidikan.

"Sementara 23 agensi lain dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penawaran dan Permintaan yang akan terlibat dalam penyediaan latihan kemahiran kepada para peserta," tambahnya.