Scotland negara pertama bekal produk kebersihan percuma untuk wanita

Akta Produk Haid dimuktamadkan oleh Parlimen Scotland pada petang Ahad, mewajibkan pihak berkuasa untuk menyediakan produk haid percuma kepada mereka yang memerlukan. - Gambar hiasan
Akta Produk Haid dimuktamadkan oleh Parlimen Scotland pada petang Ahad, mewajibkan pihak berkuasa untuk menyediakan produk haid percuma kepada mereka yang memerlukan. - Gambar hiasan
A
A
A

LONDON - Scotland menjadi negara pertama di dunia yang menyediakan produk kebersihan wanita secara percuma, lapor Anadolu Agency.

Akta Produk Haid, yang telah dimuktamadkan oleh Parlimen Scotland pada petang Ahad, mewajibkan pihak berkuasa untuk menyediakan produk haid percuma kepada mereka yang memerlukan.

Undang-undang itu bermula pada 2018, apabila jurucakap kesihatan parti Buruh Scotland, Monica Lennon, melancarkan kempen di seluruh negara untuk menyediakan produk kebersihan percuma.

"Hal ini akan membawa perubahan besar kepada kehidupan wanita dan kanak-kanak perempuan dan setiap orang yang mengalami kitaran haid.

"Terdapat kemajuan besar di peringkat komuniti dan menerusi tindakan pihak berkuasa tempatan, setiap orang terbela maruahnya ketika dalam tempoh itu,” kata Lennon dalam satu kenyataan.

Kempen itu dilancarkan di seluruh negara selepas beberapa majlis perbandaran tempatan menyediakan produk haid percuma kepada golongan wanita.

Tindakan Lennon itu mendapat sokongan ramai, dan pada 2020, Parlimen Scotland meluluskan usul itu untuk dijadikan undang-undang dengan ahli Parlimen sebulat suara menyokong usul berkenaan.

Undang-undang itu akan memberi kesan yang ketara dalam mengurangkan "kemiskinan haid," tidak mampu membeli produk kebersihan, dan membantu ramai wanita di seluruh negara ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

Menurut Women for Independence, sebuah kumpulan yang giat menjalankan kempen berkenaan, kira-kira satu daripada lima wanita pernah mengalami ‘kemiskinan haid’ yang memberi kesan buruk terhadap kebersihan, kesihatan dan kesejahteraan mereka. - Bernama