Tiga maut, puluhan cedera pasar terbakar akibat letupan

Tiga orang maut selepas sebuah pasar borong terbakar di Surmalu, Armenia pada Ahad. - Foto AFP
Tiga orang maut selepas sebuah pasar borong terbakar di Surmalu, Armenia pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

YEREVAN - Satu letupan mencetuskan kebakaran di sebuah pasar di Surmalu, Yerevan iaitu ibu kota Armenia pada Ahad mengakibatkan tiga orang maut dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

"Selepas data awal, satu letupan berlaku yang menyebabkan kebakaran," kata Kementerian Situasi Kecemasan dalam satu kenyataan yang turut memberitahu kira-kira 40 orang telah dimasukkan ke hospital.

Bangunan berdekatan pasar terbabit juga runtuh dan menyiarkan nama 25 orang yang mungkin terperangkap di bawah runtuhannya.

Para pekerja penyelamat menggunakan penggali untuk membersihkan runtuhan, lapor seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Setakat ini sebanyak 10 mangsa berjaya ditarik dari runtuhan dan satu mayat ditemui, kata kenyataan kementerian berkenaan.

Pasar borong di Surmalu biasanya sangat sibuk pada petang Ahad ketika letupan berlaku.

Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan tetapi menurut laporan berita tempatan yang memetik saksi berkata, letupan berlaku di tempat menyimpan bunga api.

Pihak berkuasa setakat ini tidak membuat sebarang kenyataan mengenai punca kebakaran itu.

Foto dan video yang disiarkan di media sosial menunjukkan kepulan asap hitam yang tebal di pasar terbabit..

Secara keseluruhan, seramai 200 anggota bomba dan pekerja perubatan telah dihantar ke tempat kejadian. - Agensi