Werner ceria dalam gundah

Werner
Werner
A
A
A

BEKAS penyerang Chelsea, Timo Werner yang melakukan penampilan semula bersama RB Leipzig langkah kanan apabila menyumbang jaringan dalam perlawanan Bundesliga Jerman menentang Cologne di Red Bull Arena, pada Ahad.

Bagaimanapun jaringan minit ke-36 pemain berusia 26 tahun itu tidak kekal lama apabila Florian Dietz (40') menyamakan kedudukan untuk skuad kendalian Steffen Baumgart.

Leipzig kembali di depan menerusi Christopher Nkunku (56') sebelum jaringan sendiri Joško Gvardiol (72') menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam aksi yang berkesudahan 2-2.

Pada perlawanan itu, tuan rumah beraksi 10 pemain selepas Dominik Szoboszlai dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama.

Werner yang mendapat tepukan hangat pada minit ke-68 selepas digantikan dengan André Silva berkata, dia sangat emosional apabila dapat kembali bersama kelab tersebut.

“Ia adalah sesuatu yang istimewa bagi saya, untuk kembali selepas dua tahun. Leipzig sentiasa menjadi sebahagian daripada saya. Saya dibesarkan di sini dan mendapat panggilan Jerman pertama saya di sini,” ujarnya.

Werner meninggalkan Leipzig ke London pada 2020 sebelum kembali awal minggu ini dalam perjanjian 25 juta pound (RM134.49 juta) buat pemegang rekod jaringan kelab itu.

Sementara itu, Werner mengakui kurang gembira dengan keputusan tersebut yang menyaksikan anak buah Domenico Tedesco seri dua perlawanan pembukaan awal mereka.

“Apabila anda melihat bagaimana kami kehilangan mata musim ini, ia benar-benar pahit. Memandangkan kami bermain dengan 10 pemain dengan baki 45 minit, 2-2 boleh diterima, tetapi untuk matlamat kami musim ini, ia jauh dari memuaskan,” katanya.