Yob azam raih slot ke Piala Malaysia

Pemain Perak FC cuba mengekang asakan dairpada pemain JDT II. - Foto fb Johor Southern Tigers
Pemain Perak FC cuba mengekang asakan dairpada pemain JDT II. - Foto fb Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Perak FC akan cuba memberikan aksi terbaik dalam mengharungi baki tiga perlawanan Liga Premier dalam usaha meraih slot ke saingan Piala Malaysia, musim ini.

Menurut pengendali skuad The Bos Gaurus, Yusri Che Lah, biarpun peluang untuk ke saingan Piala Malaysia tipis, namun kesemua pemain dingatkan untuk tetap memberikan aksi terbaik pada baki tiga perlawanan akan datang bagi merebut slot berkenaan.

“Kami akan cuba untuk berada dalam kelompok pasukan yang layak ke Piala Malaysia walaupun peluangnya sangat tipis, ditambah lagi dengan kekalahan kali ini.

“Bagaimanapun, kita kena tengok ke hadapan dan kepedihan ini tidak perlu diratapi kerana ‘kemanisan’ itu akan ada,” katanya sejurus tamat aksi berdepan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, pada Sabtu.

Pada perlawanan itu, jaringan tunggal Feroz Baharuddin pada masa kecederaan separuh masa pertama ternyata sudah cukup memadai bagi memberikan kemenangan kepada JDT II.

Namun malang berganda buat Perak FC apabila terpaksa beraksi dengan lima pemain setelah Randy Baruh dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan pada minit ke-86.

Sementara itu, Yusri mengakui sedang memikirkan pemain yang bersesuaian bagi menggantikan posisi tonggak tengah bertahan, Sunday Afolabi pada perlawanan berikutnya susulan pemain dari Niegeria itu menjalani penggantungan perlawanan setelah mengutip kad kuning ketiga.

Malah katanya, dalam masa sama, dia juga perlu melihat keadaan terkini Wan Zack Haikal Wan Noor menjelang perlawanan akan datang akan memberikan sedikit kesulitan kepadanya.

“Sunday sebenarnya dah bagi banyak kemudahan kepada saya terutamanya dalam taktikal saya manakala Wan Zack kini pula cedera.

“Oleh itu, kita perlu lihat dalam masa terdekat keadaannya terkininya (menjelang perlawanan seterusnya),” katanya.