Pembangkang mahu jadikan isu LCS sama seperti 1MDB: Najib

Najib ketika menyampaikan ucapan pada slot Bicara Tokoh sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Ahad.
Najib ketika menyampaikan ucapan pada slot Bicara Tokoh sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Wanita Barisan Nasional (BN) memahami isu-isu terkini termasuk melibatkan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang didakwa sedang dimainkan pembangkang untuk menghasut rakyat.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pembangkang ketika ini dilihat mahu menjadikan kes LCS sama seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, hakikatnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi punca kelewatan perolehan LCS.

"Walaupun saya bukan Menteri Pertahanan pada waktu itu, saya Menteri Kewangan, saya gunakan platform Facebook untuk menjawab setiap kali mereka cuba menghasut rakyat.

"Ini salah satu petua pada zaman media sosial. Kalau ada apa-apa isu jawab dalam tiga jam, jangan tunggu hari esok. Wanita kena faham isu ini kerana mereka nak jadikan isu LCS ini macam 1MDB seperti dalam pilihan raya umum lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada slot Bicara Tokoh sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada sebuah pun daripada enam LCS diserahkan walaupun kerajaan sudah membayar RM6.08 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu menjelaskan, BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU1) semasa pembinaan kapal tersebut berada pada tahap 53 peratus.

"Sekarang ini kemajuan hanya 56 peratus. Dalam masa empat tahun (perkembangannya) cuma tiga peratus. Lim Kit Siang dan Rafizi (Ramli) tak terjawab tentang perkara ini. Kenapa? Sebab niat mereka itu nak persalahkan kita. Apa dia buat, dia buat forensik audit, dia suruh pembinaan kapal tak diteruskan.

"Mereka buat forensik hentikan pembinaan kapal itu, (yang ditambah buruk dengan) masalah Covid-19 lagi, maknanya bukan salah kita, bukan salah BN," tegasnya.

Najib menambah, projek itu juga mengalami kelewatan kerana pembinaan sesebuah kapal perang bukanlah mudah, namun ia tetap boleh diteruskan kerana jika dihentikan ia akan merugikan kerajaan.

"Saya akui bahawa pembinaan LCS berdepan kelewatan kerana ia melibatkan sistem pertahanan empat dimensi peperangan.

"Empat jenis pensenjataan nak menghubungkan dalam sistem kombat, ia makan masa. Di negara maju pun lambakan projek pertahanan adalah perkara biasa berlaku sekiranya projek itu kompleks. Tetapi kenapa (PH) hentikan, kalau lewat kita boleh teruskan," ujar Najib.

Namun, beliau mempersoalkan kenapa isu LCS dibangkitkan ketika ini semasa PRU15 semakin hampir dan tidak diperkatakan pada 2019.

"Jadi sangat jelas mereka (pembangkang) penghasut utama. Tugas pembangkang adalah untuk menghasut rakyat," ujarnya.