Jalan kaki sejam bawa jenazah anak pulang

Bapa kepada jenazah bayi berusia lima bulan terpaksa berjalan kaki selama sejam untuk tiba di Kampung Samparita, apabila van jenazah persatuan tersangkut ekoran jalan rosak.
Bapa kepada jenazah bayi berusia lima bulan terpaksa berjalan kaki selama sejam untuk tiba di Kampung Samparita, apabila van jenazah persatuan tersangkut ekoran jalan rosak.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Baru-baru ini tular pasangan suami isteri terpaksa berjalan kaki selama sejam membawa jenazah anak mereka berusia lima bulan untuk dikebumikan di Kampung Samparita Tengah, Kota Marudu.

Kejadian itu disahkan berlaku pada 5 April lalu apabila van jenazah Persatuan Amal Dan Jariah Sabah yang dinaiki mereka tidak boleh sampai ke kampung berkenaan berikutan keadaan jalan rosak selain hujan menyebabkan van jenazah 'tersangkut' di tengah jalan.

Mengimbas kembali kejadian itu, pengasas Persatuan Amal dan Jariah Sabah, Masrul Guding, 32, berkata, kejadian itu ditularkan semula sehingga mendapat perhatian warganet.

“Bayi mereka berada di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) namun tidak mampu untuk membawa pulang jenazah ke sebuah kampung di Kota Marudu.

"Kami menawarkan perkhidmatan menghantar jenazah anak mereka dan sebaik tiba di Kota Marudu, kami terpaksa melalui jalan kampung tidak berturap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Masrul berkata, ketika di pertengahan jalan, mereka tidak dapat masuk ke kampung berkenaan kerana jalan tidak boleh dilalui.

"Isterinya terpaksa mengambil keputusan berjalan kaki terlebih dahulu untuk mendapatkan bantuan penduduk kampung dan suaminya menyusul kemudian apabila van jenazah tersangkut.

"Mereka terpaksa berjalan kaki selama sejam untuk tiba di kampung dan lebih separuh perjalanan suaminya dengan mengangkat jenazah anaknya, barulah penduduk kampung tiba untuk membantu," ujarnya.

Menurutnya, kejadian seperti itu sering berlaku terutama di kawasan pedalaman seperti Kota Marudu, Pitas dan Kudat apabila jalan raya rosak.

"Pernah berlaku satu kejadian di mana jenazah dari hospital dalam keadaan bersih tetapi apabila tiba di sebuah kampung di Ranau, keadaan sudah tidak sempurna kerana terpaksa melalui jalan sepanjang 33 kilometer tanpa turap.

"Namun, apa pun keadaan, kami tetap bantu sesiapapun yang memerlukan dan biasanya kami menerima maklumat daripada pihak hospital," katanya yang kini berada di Lahad Datu selepas selesai menghantar jenazah di daerah itu pada Sabtu.

Tambahnya, ketika ini mereka sudah mempunyai empat van jenazah dan khidmat menghantar jenazah dilakukan secara percuma dengan dana sendiri serta hasil daripada sumbangan orang ramai.

Persatuan itu sudah beroperasi sejak dua tahun lalu bersama 15 sukarelawan terdiri daripada golongan belia.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Persatuan Amal dan Jariah Sabah di nombor akaun 10016010111096 (Bank Islam) atau hubungi di talian 010-9307183.