Selangor cadang laksana hari tanpa beg plastik Sabtu, Ahad

Loy Sian (tiga dari kanan) memotong reben sebagai simbolik pada Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan E-Waste Taman Alam Perdana, Puncak Alam pada Ahad.
Loy Sian (tiga dari kanan) memotong reben sebagai simbolik pada Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan E-Waste Taman Alam Perdana, Puncak Alam pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor bercadang melaksanakan hari tanpa beg plastik pada Sabtu dan Ahad setiap minggu di semua premis berdaftar bagi mengurangkan penggunaannya yang semakin meningkat di negeri ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, langkah itu dilihat antara salah satu cara bagi menangani pencemaran alam sekitar.

Menurutnya, pelaksanaan hari tanpa beg plastik pada hujung minggu sudah dilaksanakan di beberapa negeri lain.

"Kalau bilangan kutipan beg plastik terus meningkat, kita juga merancang untuk menguatkuasakan larangan penggunaannya pada Sabtu dan Ahad," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan E-Waste Taman Alam Perdana, Puncak Alam pada Ahad.

Loy Sian berkata, caj penggunaan beg plastik sebanyak 0.20 sen di semua premis berdaftar di negeri ini masih kekal sehingga 2025.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak bercadang menaikkan kadar itu jika kesedaran terhadap larangan penggunaan beg plastik masih rendah.

"Kemungkinan caj beg plastik 20 sen satu angka yang sangat rendah dan pengguna mampu bayar, jadi mungkin (menaikkan caj) satu pilihan untuk memberi kesedaran kepada pengguna.

"Contohnya di Pulau Pinang, caj satu beg plastik sahaja 50 sen dan ini kemungkinan yang perlu kerajaan Selangor kaji selepas 2025," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, statistik menunjukkan jumlah kutipan caj pada 2020 adalah RM5.8 juta dan ia semakin meningkat sehingga RM6.8 juta pada tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor masih giat menjalankan pelbagai kempen kesedaran di semua peringkat termasuk di sekolah.

"Malah kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk membuat pindaan ke atas Undang-Undang Kecil (UUK) pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap larangan pembuangan sampah haram yang mencemar alam sekitar.

"Perkara itu masih dalam perbincangan kerana kita perlu membuat pindaan ke atas Undang-Undang Kecil (UUK) pihak berkuasa tempatan (PBT). Kenaikan amaun itu perlu berikutan denda sedia ada iaitu RM2,000 masih rendah dan seolah-olah tidak diendahkan pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.