Skim ali baba harus dihentikan

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa skim ali baba dalam agihan kontrak kerajaan tidak boleh dikuatkuasakan kerana melanggar undang-undang dan polisi awam negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, menerusi keputusan tersebut, ia bermakna amalan pengusaha bumiputera ‘menjual’ kontrak kerajaan yang dianugerahkan kepada pengusaha bukan bumiputera harus dihentikan.

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

“Umum diketahui bahawa Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menggariskan kewajiban kerajaan untuk memperuntukkan kontrak perolehan kerajaan kepada pengusaha bumiputera, namun skim ali baba ini adalah satu bentuk penyalahgunaan nyata dan tidak membantu roh dan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Terdahulu media melaporkan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 4 Ogos lalu memutuskan bahawa skim ali baba yang diamalkan dalam agihan kontrak oleh kerajaan tidak boleh dikuatkuasakan kerana melanggar undang-undang dan polisi awam negara.

Justeru, Pemuda UMNO Malaysia mendukung sepenuhnya keputusan Mahkamah Rayuan dan menggesa pihak kerajaan memastikan amalan ini tidak diteruskan, sekali gus memastikan kompetensi pengusaha bumiputera ditingkatkan.

GUBAL AKTA, ELAK SKIM ALI BABA BERLELUASA

Kerajaan perlu menggubal Akta Perolehan Kerajaan agar sistem perolehan kontrak dilakukan secara terbuka sekali gus mengelak amalan skim ali baba lebih berleluasa.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perlu diwujudkan peruntukan baharu di bawah Akta 694 yang menghendaki sesuatu organisasi komersial atau mana-mana individu membuat pengisytiharan berhubung ‘pemunya benefisial’.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Shamsul Iskandar Mohd Akin

“Skim ali baba kini bukan hanya antara bumiputera dan bukan bumiputera tetapi turut melibatkan warga asing Indonesia, Bangladesh, Thailand atau Vietnam,” katanya kepada Sinar Harian.

Shamsul Iskandar menambah, skim ali baba yang menggunakan serta meletakkan nama individu sebagai sleeping partner untuk status syarikat bumiputera juga harus dibanteras.

“Kontraktor bumiputera yang mengamalkan skim ali baba wajar disenarai hitam dan batalkan lesen mereka.

“Selain itu, persatuan atau dewan perniagaan juga harus memberikan kerjasama,” katanya.

Beliau menjelaskan, akibat daripada amalan tersebut, kerajaan akan mengalami kerugian dari segi kelewatan masa.

“Kesan kepada rakyat dan negara adalah hasil akhir projek dijalankan itu tidak mengikut spesifikasi selain kualiti sangat rendah kerana projek melalui banyak tangan serta tapisan,” ujarnya.