Kelantan FC bangkit raih tiga mata

Nurshamil cuba mengasak kubu PDRM di di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang Sabtu. - Foto Facebook TRW KELANTAN FC
Nurshamil cuba mengasak kubu PDRM di di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang Sabtu. - Foto Facebook TRW KELANTAN FC
A
A
A

KELANTAN FC bangkit daripada kekecewaan apabila melakar kemenangan 2-1 ke atas PDRM FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada petang Sabtu.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, kedua-dua pasukan saling bertukar serangan dengan PDRM dilihat lebih kerap melancarkan serangan ke arah gawang tuan rumah.

Bagaimanapun, kecekapan penjaga gol Kelantan FC, Nik Mohd Amin menafikan peluang skuad The Cops untuk mengawal tempo permainan.

Kealpaan barisan pertahanan Kelantan FC akhirnya dihukum PDRM yang memperoleh gol pendahuluan menerusi G Durrkeswaran pada minit ke-30.

Sebaik babak kedua bersambung, Kelantan FC yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri terus mengasak kubu PDRM untuk mencari gol penyamaan.

Usaha keras skuad The Red Warriors membuahkan hasil apabila gerakan dari bahagian sayap kiri memerangkap barisan pertahanan PDRM untuk mereka memperoleh sepakan penalti.

Penyerang berbisa, Nurshamil Abd Ghani tidak berdepan masalah besar mudah menyempurnakan penalti itu untuk menyamakan kedudukan.

Kelantan FC seakan-akan mendapat tonik tambahan apabila terus mengasak gawang PDRM dan hasilnya, sepakan lencong Ikhwan Yazek menerjah gawang lawan pada minit ke-77.

Kejayaan meraih tiga mata berharga itu menyaksikan Kelantan FC yang kekal menerajui carta Liga Premier memadam kekecewaan selepas tewas 1-2 kepada Perak FC di venue sama Rabu lalu.