SUKIPT 2022: UiTM cemerlang di gelanggang petanque

Skuad petanque UiTM cemerlang sumbang dua emas pada hari pertama sukan itu dipertandingkan.
Skuad petanque UiTM cemerlang sumbang dua emas pada hari pertama sukan itu dipertandingkan.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SKUAD petanque Universiti Teknologi Mara (UiTM) cemerlang membutir dua pingat emas pada hari pertama sukan tersebut dipertandingkan di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022).

Pada aksi yang berlangsung di di gelanggang petanque, Kampus Sultan Azlan Shah, emas UiTM itu hadir dalam acara perseorangan wanita menerusi atletnya, Athirah Sareh yang menewaskan wakil Kolej Polytech Mara (KPM), Nur Afiqah Jasni 13-5 pada perlawanan akhir.

Rentak kemenangan Athirah nyata memberi semangat kepada beregu lelaki UiTM yang diwakili Syed Afiq Fakhri Syed Ali dan Haris Jonaidey yang menumpaskan gandingan Politeknik Muhammad Darwish Hariri Waheb dan Ahmad Arif Hakimi Mohd Hannizan menerusi kemenangan 13-2.

Bagaimanapun hasrat beregu wanita, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali dan Nur Zahrah Burhan Shahidi untuk menyumbang emas ketiga UiTM tidak kesampaian apabila tumpas kepada gandingan Politeknik Nur Anis Shamiera Nazuha Mohd Nadzry dan Nuraini Zulpetry 5-13 pada aksi akhir.

“Saya berbangga dengan aksi yang ditampilkan atlet pada perlawanan ini. Alhamdulillah kami berjaya mencapai sasaran yang diletakkan UiTM bagi sukan petanque di temasya.

“Saya momentum ini dapat diteruskan dalam acara triple lelaki dan wanita yang akan berlangsung pada Isnin,” kata jurulatih skuad petanque UiTM, Syed Ali Syed Akil.

Bagi kategori individu lelaki, pingat emas dimenangi atlet Universiti Malaysia Pahang (UMP), Wan Mohamad Farihin Wan Rosli yang menumpaskan wakil Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Asyraf Wajdi Kamarozaman 13-8.