Felcra pengeluar benih asas padi wangi

Mahdzir (empat dari kanan) melawat Laman Padi, MAFI, di MAHA 2022 di Serdang, pada Sabtu.
Mahdzir (empat dari kanan) melawat Laman Padi, MAFI, di MAHA 2022 di Serdang, pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - Felcra Berhad melalui anak syarikatnya, Felcra Plantation diberi kepercayaan untuk menjadi pengeluar benih asas padi wangi MRQ76 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peranan yang diberikan itu bertujuan memastikan kualiti dan kuantiti benih asas padi wangi MRQ76 lebih terjamin serta mencukupi bagi aktiviti penanaman padi wangi berskala besar menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SBB).

"Kerjasama pintar di antara pihak MAFI dan FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd dalam program SMART SBB ini telah terbukti mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi sehingga satu tan metrik sehektar.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan hasil pendapatan pesawah dengan harga jualan padi RM1,540 per tan metrik berbanding RM1,260 per tan metrik untuk varieti padi putih,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Laman Padi, MAFI, di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengerusi Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, MAFI, Azman Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Mat Roni Zakaria.

Dalam pada itu Mahdzir berkata, Felcra juga telah membuat perubahan dalam pengurusan tanaman padi melalui penggunaan aplikasi teknologi seperti dron, seiring dengan revolusi perindustrian 4.0.

Justeru katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah memperuntukkan RM1.8 juta bagi tujuan pembangunan teknologi dron, selain menarik minat golongan muda khususnya anak peserta Felcra menceburi industri padi sekali gus menyediakan peluang pekerjaan baharu di kawasan tersebut.

“Felcra juga mempunyai kepakaran dalam melaksanakan kerja-kerja kajian profil tanah bagi membantu pesawah mengenal pasti nutrien tanah dan tahap kesuburan tanah.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini penting dalam memastikan rawatan tanah dapat dilaksanakan secara efisien dan efektif,” katanya.

Beliau menambah, Felcra turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat swasta bagi menghasilkan produk beras putih menggunakan jenama sendiri sebagai tanda sokongan terhadap Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Negara.

"Tahun ini, KPLB telah menyediakan peruntukan sebanyak RM12 juta kepada Felcra bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur ladang, selaras dengan evolusi industri padi dan beras bagi menjamin keselamatan bekalan negara,” ujarnya.