'Saya tidak bersedia umat Islam rugi peluang bermuafakat'

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan tindakannya meninggalkan parti itu tidak mendatangkan sebarang kerugian terhadap dirinya.

Malah ahli Parlimen Kuala Nerus itu menegaskan, tindakan Pas yang meninggalkan Muafakat Nasional (MN) untuk bersama Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) merugikan umat Islam.

"Mempertimbangkan antara kerugian peribadi dengan kerugian pada umat Islam, saya tidak bersedia untuk umat Islam seramai 3.2 juta dalam UMNO dan satu juta dalam Pas kerugian peluang bermuafakat, bersatu, bercantum dan berdamai setelah bertelingkah 44 tahun sejak 1978.

"Pemimpin perlu bersifat mencantum bukan mencarik, menyatu bukan memecah, menjinakkan bukan meliarkan, berhemah bukan bertelingkah, menyejukkan bukan memanaskan, meredakan bukan meledakkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang menempelak kenyataan terdahulunya mengenai tindakan parti itu yang tidak meneruskan kerjasama bersama UMNO.

Terdahulu Khairuddin dilaporkan berkata, jika Pas meninggalkan UMNO untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) ia tidak membawa sebarang keuntungan seperti terbukti ketika gabungan itu tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.