Perangi rasuah perlu 'banyak peluru'

Ahmad Samsuri (kanan) dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di kediamannya di Batu Burok, Kuala Terengganu bersempena kunjungan hormat pasukan Rasuah Busters ke Terengganu.
Ahmad Samsuri (kanan) dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di kediamannya di Batu Burok, Kuala Terengganu bersempena kunjungan hormat pasukan Rasuah Busters ke Terengganu.
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha membanteras rasuah di negara ini memerlukan pelbagai strategi yang ampuh bagi menjayakan agenda #MalaysiaTanpaRasuah.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, strategi yang disasarkan itu perlu melibatkan semua pihak termasuklah dari 'atas' sehinggalah ke 'bawah'.

'Usaha untuk menangani isu rasuah ini memerlukan multi tahap strategi daripada pemimpin atasan sehinggalah ke rakyat supaya kita boleh memutuskan rantaian tawaran dan penerimaan.

"Kepada rakyat mungkin kita kata jumlahnya sedikit tetapi ia berkait dengan kata-kata bila sampai ke atas ia menjadi jumlah yang besar.

"Jadi semua pihak sebenarnya berperanan iaitu orang politik, penjawat awam, orang biasa, rakyat awam, komuniti semua berperanan dan kalau semua boleh mainkan peranan dan bersatu hati ia akan membuahkan hasil (perang terhadap rasuah)," katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif di kediamannya di Batu Burok, Kuala Terengganu bersempena kunjungan hormat pasukan Rasuah Busters ke Terengganu.

Jelasnya lagi, dalam mendepani perkara itu semua pihak yang terlibat perlu mengusahakan satu perubahan struktur dalam pengurusan dan pentadbiran di semua peringkat.

"Insya-ALLAH kita boleh mengurangkan masalah-masalah yang ada ini dan reformasi institusi dan struktur ini adalah antara perkara yang sangat penting untuk dilakukan walaupun perbahasannya panjang.

Artikel Berkaitan:

"Mana yang perlu didahulukan, mana yang dikemudiankan, tapi ia perlu ditangani dan dibuat barulah kita dapat mengurangkan dan akhirnya menyelesaikan masalah rasuah ini," tegasnya.

Dalam pada itu ketika menyentuh usaha yang digerakkan oleh Sinar Harian menerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia dalam mengajak seluruh rakyat Malaysia bergabung memulihkan kereputan sistem nilai dan integriti dalam negara dengan menggerakkan Rasuah Buster, Ahmad Samsuri menegaskan bahawa usaha itu merupakan tindakan yang sangat baik.

"Tentunya Pas pada saya walaupun saya bukan bercakap berdasarkan kenyataan rasmi daripada parti, tetapi secara individu saya boleh katakan bahawa Pas sangat konsisten dan komited daripada awal lagi bahawa kita sangat menyokong mana-mana NGO, termasuklah Rasuah Busters, individu ataupun cendekiawan yang ingin memperjuangkan perkara ini kita sangat sokong.

"Sebab itulah saya boleh sebut bahawa antara perkara yang menjadi 'tagline' yang kita tekankan dalam pilihan raya yang akan datang ini...bagi Pas adalah mengenai integriti. Itu antara saya bocorkan jawapan sini lah...kita punya 'road map'...bahawa kita menekankan integriti," katanya.

Sementara itu menyentuh mengenai hasil kajian oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berhubung Indeks Terbuka Belanjawan Malaysia (MyOBI) bagi mempromosikan tahap ketelusan belanjawan di peringkat negeri yang meletakkan Terengganu sebagai negeri yang paling telus dalam pemaparan belanjawan peringkat negeri, Dr Samsuri berkata kejayaan itu bukannya datang daripada dirinya seorang.

"Pertama saya tak kata kami terbaiklah, mungkin rakan-rakan negeri lain ada kelebihan-kelebihan lain. Cuma kami berusaha bersungguh-sungguh menjadi lebih telus dan lebih berintegriti dalam pelaksanaan bajet sebab itulah dalam melaksanakan bajet negeri antara perkara yang kami tidak tinggal daripada awal dulu kecuali ketika pandemik ialah kita mengadakan libat urus.

"Iaitu termasuklah dengan rakyat dan kalangan kelompok-kelompok tertentu seperti NGO, orang awam, komuniti dan sebagainya di mana pimpinan kerajaan negeri melaluinya kita mengadakan banyak perjumpaan mengadakan sesi bersama dengan rakyat di seluruh daerah untuk mendapatkan pandangan tentang apakah cadangan bajet mereka kepada saya," jelasnya.

Tambahnya, masalah tidak akan selesai sekiranya ia melibatkan perbincangan dalam kalangan pemimpin atasan sahaja.

"Adakalanya kita memerlukan penglibatan bawah ke atas, ada perkara-perkara yang kita rasa kita perlu buat, tapi adakalanya pandangan daripada Pak Mat yang menjual air di tepi jalan tu perlu kita dengar. Kadangkala pandangan daripada Kak Ani yang menjadi pembantu rumah itu pun kita perlu dengar. Jadi pendekatan inilah yang menyebabkan kita lebih berjaya," katanya.

Ahmad Samsuri berkata, sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menjadi lebih telus adalah mendengar suara semua pihak.

"Bila kita tanya anak kita, nak (anak) nak apa? Kalau anak 10 orang, masing-masing ada senarai dia. Macam mana kita nak uruskan senarai-senarai yang berbeza ini? Tentulah kita kena utamakan yang perlu diutamakan.

"Kita lihat dari pelbagai segi, sebagai ketua keluarga, misalnya anaknya nak main macam-macam, ada yang perlu dahulu duit itu kerana nak bayar yuran maka dahulukan. Ada yang perlu nak beli kasut bola. Kita tanya bila main bola, tiga bulan lagi, itu boleh dikemudiankan. Begitulah cara pendekatannya, kita melihat bagaimana kita menguruskan, menentukan mana jadi keutamaan dalam bajet kita," katanya.