SUKIPT 2022: Turun tanpa tekanan kunci kemenangan UiTM

Antara aksi pasukan UiTM ketika menentang UPNM dalam kumpulan A temasya SUKIPT 2022.
Antara aksi pasukan UiTM ketika menentang UPNM dalam kumpulan A temasya SUKIPT 2022.
A
A
A

TURUN sebagai pasukan bukan pilihan, disifatkan sebagai punca kemenangan besar 4-0 skuad bola sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke atas Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) dalam aksi pertama kumpulan A temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022) pada Jumaat.

Ketua jurulatih UiTM, Mohd Yazli Yahya berkata, beliau nyata gembira dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya yang turun tanpa sebarang tekanan sekali gus menyebabkan mereka mampu beraksi dengan baik ketika menentang juara Liga IPT itu sambil menyifatkan aksi yang ditampilkan.

“Sebenarnya saya tidak sangka mereka boleh mendapatkan kemenangan besar ini. Seperti kita tahu UPNM bukanlah lawan yang biasa-bisa kerana mereka merupakan juara Liga IPT baru-baru ini.

“Bagaimanapun alhamdulillah, mereka berjaya menewaskan UPNM. Mungkin antara faktor mereka boleh menang besar disebabkan kita (UiTM) tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan.

“Jadi mereka boleh bermain tanpa sebarang tekanan berbanding lawan mereka yang memegang status yang besar,” katanya.

Pada aksi yang berlangsung di UniKL Sepang itu, kubu UPNM hanya bertahan 38 minit apabila gawang mereka dirobek buat kali pertama menerusi Muhammad Harith Akif sebelum Muhammad Zharif Nazhan Refli menambah gol kedua pada minit ke-44.

Tidak cukup dengan dua gol, UiTM terus garang apabila Muhammad Zharif meledak gol kedua peribadinya bagi aksi terbabit pada minit ke-64.

Muhammad Harith menambah derita UPNM apabila dia turut mencetak gol kedua peribadinya sekali gus menjadikan kedudukan kepada 4-0 pada minit ke-83.

Dalam pada itu, Mohd Yazli turut berharap kemenangan ke atas UPNM itu mampu memberikan suntikan semangat buat pasukannya dalam misi untuk layak ke perlawanan akhir buat kali pertama.

“Jadi saya harap lepas ini, mereka boleh kekalkan aksi yang konsisten seperti yang dipamerkan ketika menentang UPNM dalam perlawanan yang seterusnya.

“Kalau mereka boleh kekalkan, saya rasa ia bukan perkara yang mustahil untuk pasukan ini beraksi di perlawanan akhir nanti,” katanya.

Untuk rekod, UiTM bakal meneruskan aksi semula pada Ahad yang mana mereka akan menentang Universiti Malaysia Terengganu (UMT) manakala UPNM akan menentang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).